Penyatuan ummah: Mahfuz sifatkan Pas tanggung ‘biawak hidup’

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Datuk Mahfuz Omar menyifatkan Pas seperti menanggung ‘biawak hidup’ selepas parti tersebut melakukan kerjasama dengan UMNO untuk memperkasakan agenda penyatuan ummah.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, hal itu kerana kerjasama Pas dan UMNO dilihat lebih kepada penyebaran pembohongan dan dakyah palsu bagi mengapi-apikan sentimen perkauman serta agama.

“Saya bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang hasrat utama gabungan Pas dan UMNO ini bukan sahaja untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tetapi dengan sendirinya akan mengembalikan kuasa politik UMNO serta Barisan Nasional (BN).

“Pas tidak akan mengaku perbuatan mereka ini bahkan sanggup melakukan ‘tipu syarie’ bagi mencapai hasrat mereka sehingga ke tahap yang berlaku sekarang ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mahfuz turut mengucapkan tahniah atas ‘pernikahan’ UMNO dan Pas seperti yang diumumkan Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada 5 Mac lalu.

Menurut Mahfuz, pihaknya tidak terkejut dengan ‘pernikahan’ tersebut memandangkan PH sudah lama mengetahui hubungan sulit antara kedua-dua parti berkenaan. – UTUSAN ONLINE



Sumber: cempedakcheese.com