Perihal Doa Makan Yang Mahsyur

Posted on Saturday, March 02, 2019 | 3/02/2019



Soalan :
Selalu kita dengar apabila seseorang hendak memulai memakan makanan maka dibacanya akan doa :

اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيمَا رَزَقْتَنَا وَقِنَا عَذَابَ النَّار

Adakah boleh dibaca doa ini kerana ada orang yang berkata tidak dibolehkan kerana Nabi saw tidak membacanya?

Jawapan:
Doa yang selalu dibaca orang ketika hendak memulai makan itu ada diriwayatkan oleh beberapa periwayat hadith. Antaranya hadith yang diriwayatkan dari Abdullah bin ‘Amr r.a. katanya:

عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، أَنَّهُ كَانَ يَقُولُ فِي الطَّعَامِ إِذَا قُرِّبَ إِلَيْهِ : " اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيمَا رَزَقْتَنَا ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ ، بِسْمِ اللَّهِ "
Daripada Nabi saw bahawasanya baginda apabila mendekati makanan berdoa:

اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيمَا رَزَقْتَنَا ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ ، بِسْمِ اللَّهِ
“Ya Alah berkatilah kami dan berkatilah apa yang Kamu rezekikan kami ini dan peliharalah kami dari azab neraka. Bismillah.” (Hadith At-Tabarani)

Hadith ini dhaif kerana salah satu sanadnya lemah tetapi maknanya adalah sahih maka harus membacanya ketika hendak makan seperti yang selalu diamalkan orang.

Perkataan yang mengatakan doa ini tidak boleh dibaca kerana Nabi saw tidak membacanya adalah salah kerana tidak boleh dijadikan dalil sesuatu itu haram atau dilarang jika Nabi tidak melakukannya. 

Perlu difahami bahawa membaca doa adalah disuruh oleh syarak dan ia adalah amalan yang sangat baik.

Harus seorang itu berdoa dengan doa dari al-Quran atau doa Nabi saw atau doa para Nabi yang terdahulu atau doa para sahabat atau doa salafussolih atau doa para ulama’ atau doa apa sahaja asalkan doa itu baik maksudnya. Dan yang paling afdhal ialah doa dari al-Quran atau dari Nabi saw.

Maka jika ada seorang yang mengatakan hanya doa dari hadith yang sahih atau doa dari Nabi sahaja yang bolih dibaca manakala doa dari hadith dhaif tidak boleh dibaca atau doa yang bukan dibaca oleh Nabi tidak boleh dibaca maka orang itu adalah orang yang sangat jahil tiada boleh dijadikan ikutan sama sekali.

Demikian juga haram hukumnya melarang orang lain beramal dengan amalan yang tidak kuat dalilnya atau amalan yang tidak afdhal. Yang disuruh larang oleh syarak ialah orang yang melakukan perkara mungkar.

Ada beberapa hadith yang mendekati ucapannya seperti doa di atas yang bertaraf sahih atau hasan antaranya:

Hadith yang diriwayatkan dari Abdullah bin Abbas r.a. katanya :

قالَ رسولُ اللَّهِ صلَّى اللَّه عليه وسلم: من أطعمَهُ اللَّهُ الطَّعامَ فليقُلِ اللَّهمَّ بارِك لنا فيهِ وأطعِمنا خيرًا منْه
Telah bersabda Rasulullah saw: “Siapa yang direzekikan olih Allah akan suatu hidangan maka ucaplah:

 اللَّهمَّ بارِك لنا فيهِ وأطعِمنا خيرًا منْه
“Ya Allah berkatilah kami pada makanan ini dan berilah kami makan yang lebih baik darinya.” (Hadith Tirmidzi)

Wallahua’lam.


+ Ustaz Azhar Idrus (Original)

Sumber: Oh! Media
Blog, Updated at: 3/02/2019

0 comments:

Loading...