Pindah aset cara terbaik selamatkan Tabung Haji – Menteri

Kerajaan telah menimbangkan beberapa pilihan dalam pelaksanaan penstrukturan semula Tabung Haji sebelum memutuskan untuk memindahkan aset tidak berprestasi baik lembaga itu ke syarikat tujuan khas (SPV), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof.

Bercakap ketika sesi soal jawab di Parlimen hari ini, beliau yang menjagai portfolio hal ehwal agama berkata dua lagi pilihan yang diambil kira adalah dengan kerajaan bertindak sebagai penjamin atau pemberian geran kepada lembaga itu.

“Kita mahu mengelakkan perkara itu kerana ia akan memberi kesan kepada kedudukan kewangan negara.

“Kedua-dua pilihan agak berisiko jadi kita ambil pilihan terbaik iaitu dengan memindahkan aset tidak berprestasi baik, maka kita boleh menjaga kebajikan pendeposit,” katanya yang memberi jaminan bahawa keutamaan Tabung Haji tetap untuk menjaga kepentingan pendeposit.

Beliau menjawab soalan Salim Sharif (BN-Jempol) yang meminta kerajaan menyatakan nama SPV tersebut dan sama ada pemindahan aset akan memberi kesan kepada dividen yang diterima pendeposit.

Jawapan bertulis parlimen oleh Jabatan Perdana Menteri minggu lalu menyatakan aset Tabung Haji dipindahkan kepada SPV bernama Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) dengan nilai hampir dua kali ganda berbanding nilai buku aset berkenaan.

Secara keseluruhan, kata Mujahid, pemindahan aset tak berprestasi tinggi bernilai RM19.9 bilion – merangkumi 29 hartanah, 106 aset sekuriti domestik dan satu syarikat tak tersenarai – telah meletakkan aset Tabung Haji pada nilai RM76.5 bilion berbanding liabiliti RM75.5 bilion setakat 31 Disember lalu.

Terdahulu, Tabung Haji dilaporkan menanggung liabliti bernilai RM74.4 bilion berbanding aset RM70.3 bilion, menjadikannya defisit RM4.1 bilion setakat 31 Disember 2017.

Berkenaan sama ada lembaga itu mampu menyamai kadar dividen 6.5 peratus tahun lalu, Mujahid berkata pengumuman berkenaannya akan dibuat kemudian.



Sumber: cempedakcheese.com