Proton cipta rekod jual 8,500 buah X70 dalam tempoh 100 hari

KUALA LUMPUR – Selepas 100 hari majlis pelancaran rasminya, unit Proton X70 yang ke-8,500 telah diserahkan kepada firma undang-undang Malaysia, Lee Allen Hishammuddin & Gledhill (LHAG).

Pencapaian ini menunjukkan SUV pertama Proton mencipta rekod bagi jumlah penghantaran paling banyak dalam segmennya dan pada masa sama menjadikan syarikat sebagai antara pengeluar utama dalam pasaran SUV di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong berkata, dengan menyerahkan sebanyak 8,500 buah Proton X70 dalam masa 100 hari, syarikat telah membuktikan pembeli-

pembeli kereta di Malaysia amat tertarik dengan SUV pertama tersebut.

“Kami terharu dengan sokongan daripada mereka dan akan terus berusaha dengan lebih lagi untuk menyerahkan lebih banyak unit secepat mungkin bagi mengurangkan masa menunggu oleh para pelanggan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dengan kadar pertumbuhan jualan kumulatif sebanyak 42 peratus untuk dua bulan pertama 2019, Proton mencatat kadar pertumbuhan jualan tertinggi dalam kalangan jenama automotif di barisan ketiga teratas di Malaysia mengikut volum.

Pemacu utama kepada peningkatan ini adalah Proton X70, merupakan model paling popular untuk Januari dan Februari (berdasarkan angka pendaftaran rasmi) dan berada di landasan tepat untuk mencapai peningkatan sama untuk bulan ketiga berturut-turut. – UTUSAN ONLINE



Sumber: cempedakcheese.com