Singapura dakwa Malaysia sudah hilang hak untuk semak semula harga air

JOHOR BAHRU – Kerajaan Singapura hari ini mendakwa Malaysia hilang hak untuk mengkaji semula harga air mengikut Perjanjian Air 1962 (62WA).

Jurucakap Kementerian Luar republik itu dalam satu kenyataan di sini berkata, tiada keputusan mengkaji harga air berlaku pada pertemuan antara Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 12 November tahun lalu.

Sebaliknya, kedua-dua pihak didakwa menyatakan pandangan berbeza mengenai hak mengkaji harga air di bawah 62WA.

Katanya, mereka menyatakan kesediaan mengadakan perbincangan lanjut untuk lebih memahami kedudukan dan hak masing-masing mengkaji harga air mengikut 62WA.

“Peguam Negara Singapura dan Malaysia bertemu sekali pada Disember 2018 untuk tujuan ini.

“Bagaimanapun, perbincangan (berhubung 62WA) tidak ada kemajuan kerana dibayangi isu yang timbul membabitkan Had Pelabuhan Johor Bahru dan prosedur Sistem Pendaratan Instrumen Seletar (ILS).

“Pastinya tidak ada persetujuan antara kedua-dua Peguam Negara mengenai berkaitan 62WA dalam mesyuarat mereka. Peguam Negara akan bertemu semula untuk meneruskan perbincangan mereka,” katanya.

Jurucakap Kementerian Luar Singapura berkata, kerajaan republik itu mengambil maklum kenyataan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, di Dewan Rakyat semalam, yang dilapor akan membawa perkara itu ke timbang tara antarabangsa jika Singapura enggan mengadakan perbincangan.

“Dr Mahathir pada 3 Mac lalu ada mengatakan Singapura tidak mahu ke mahkamah dunia kerana kita (Singapura) akan kalah.

“Singapura sentiasa bersedia menyelesaikan pertikaian ini secara prosedur penyelesaian pertikaian pihak ketiga antarabangsa, berdasarkan terma dipersetujui pihak terbabit.

“Malah, sejak 2003, bekas Menteri Luar Negeri, S Jayakumar, menegaskan Singapura bersedia merujuk perkara itu kepada timbang tara antarabangsa oleh Mahkamah Tetap Timbangtara demi kepentingan menyelesaikan pertikaian itu,” tambah kenyataan itu.



Sumber: cempedakcheese.com