Suffian Tiger Sedia Teruskan Tugas


Memakai lilitan kapten tidak menambah tekanan kepada penjaga gol veteran, Mohd Suffian Rahman, yang menyatakan kesediaan untuk terus mengetuai Terengganu FC (TFC).

Diberikan tugas selaku kapten TFC bertemu Melaka United, Suffian membalas kepercayaan itu dengan aksi cemerlang yang menyaksikan TFC menang 3-0.

Begitupun, Suffian memberikan pujian kepada semua pemain yang menjalankan tugas serta beraksi demi pasukan, termasuk bekas kapten, Kipre Tchetche.

"Kami perlu memberikan yang terbaik dan keputusan akan berpihak kepada TFC tanpa mengira siapapun yang menjadi ketua pasukan.

"Saya akan terus menjalankan tugas sebagai kapten jika diberikan kepercayaan lagi," katanya.

Berpengalaman sejak 1999, Suffian hanya menyertai TFC yang dalam krisis penjaga gol pada 2017 dan sejak itu kekal sebagai tonggak Sang Penyu.

Hasrat untuk bersara perlu ditangguh Suffian, 41, ekoran prestasi kurang meyakinkan dua penjaga gol TFC, Ilham Amirullah Razali dan Wan Muhammad Azraei Wan Teh.

"Sebenarnya saya mahu pemain tempatan yang mengawal pintu gol, namun agak kecewa dengan persembahan Ilham dan Azraei," luah pengendali TFC, Irfan Bakti Abu Salim. - Arena