Suspek buang toksik di Pasir Gudang belum dapat didakwa

PENDAKWAAN terhadap pemilik kilang tayar kitar semula haram yang bertanggungjawab membuang bahan kimia ke Sungai Kim Kim dan menyebabkan krisis kesihatan di Pasir Gudang terpaksa ditangguh.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor Dr Sahruddin Jamal berkata, kertas siasatan telah dihantar kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya, tetapi ada permintaan maklumat lanjut perlu ditambah.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah diberitahu untuk menambah maklumat lanjut bagi menyelesaikan kertas siasatan.

“Pendakwaan masih belum dilakukan sehingga kami menerima arahan lanjut dari Pejabat Timbalan Pendakwa Raya,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada Rabu dilaporkan bahawa pemilik kilang kitar semula tayar haram dijangka akan dikenakan tindakan hari ini (Khamis) kerana meyebabkan Sg Kim Kim tercemar dengan toksik.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Malaysia Yeo Bee Yin memberitahu, suspek yang kilangnya terletak di Kulai akan didakwa mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Katanya, pemilik bakal berdepan dengan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda RM500,000 jika didapati bersalah. -The Star



Sumber: cempedakcheese.com