Terengganu FC Bakal Hilang 'Nakhoda'


KUALA TERENGGANU: Pasukan Terengganu FC (TFC) 'hilang nakhoda’ selama 10 hari bermula 6 April ini apabila ketua jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim terpaksa melepaskan tugasnya seketika berikutan perlu menghadiri kursus lesen pro di Kuala Lumpur.

Berikutan ketiadaanya itu, tugas membimbing akan dipikul oleh tiga pembantunya iaitu Mohamad Nik, Kamaruddin Annuar, Nafuzi Zain serta jurulatih penjaga gol, Yazid Mohd Yassin.

Sepanjang berada di ibu negara, Irfan bakal terlepas perlawanan Liga Super menentang PKNP FC pada 6 April di sini, dan Kedah pada 12 April di laman lawan.

"Biarpun saya tiada, saya tidak risau kerana tiga penolong jurulatih dan jurulatih penjaga gol adalah mereka yang berpengalaman luas dalam bidang kejurulatihan bola sepak ini.

"Jadi tidak timbul masalah kepada pasukan sepanjang ketiadaan saya, apatah lagi pemain sudah biasa dengan jurulatih berkenaan kerana sudah hampir tiga tahun bersama sejak Liga Perdana 2017.

"Apa yang saya harapkan pemain harus mengikut perancangan jurulatih bagi memastikan rentak kemenangan terus diraih," katanya.

Terengganu yang bakal berdepan Selangor pada Jumaat ini masih mengharapkan sentuhan jurulatih berpengalaman itu untuk mengutip tiga mata walaupun bertandang di laman lawan sebelum menanti kunjungan pasukan kelab, Ultimate FC pada aksi Piala FA pusingan kedua pada 2 April. - Berita Harian