Tun Mahathir terdiam bila disoal tentang sijil palsu Menteri Kabinet

KUALA LUMPUR – Ketika sedang ‘asyik’ berbicara tentang bagaimana integriti negara tercemar kerana pelbagai skandal rasuah oleh kerajaan terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terdiam seketika apabila beliau disoal pembangkang.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan bangkit bertanyakan tentang apakah antara inisiatif kerajaan kini (Pakatan Harapan) berikutan terpalitnya skandal sijil palsu oleh pimpinan PH baru-baru ini.

Selain itu, Ahmad Maslan turut bertanya apa pula terjadi dengan janji manifesto yang tidak tertunai sehingga kini, lebih-lebih lagi kerajaan kini dianggap lebih bersih dan berintegriti.

Bagaimanpun, Tun Mahathir yang juga merupakan Ahli Parlimen Langkawi tidak ‘melayan’ isu sijil palsu yang dikaitkan dengan beberapa wakil rakyat dalam Kabinetnya, sebaliknya hanya menjawab tentang manifesto.

“Kita sedang berusaha dengan memastikan janji manifesto itu dapat ditunaikan tetapi kerana perbuatan kerajaan terdahulu selain daripada perundangan lama tidak mempermudahkan usaha kerajaan ketika ini.

“Sepatutnya kita sudah lihat yang dituduh melakukan kesalahan kewangan seperti SRC dan 1MDB sudah dihadapkan ke muka pengadilan tetapi kerana peruntukan undang-undang sedia ada ini, kita terpaksa patuh. Kita patuh dan akur pada ‘rule of law’.

“Rakyat juga sudah tertanya-tanya ketika ini, kita sedang berusaha tetapi kita perlu patuh pada ‘rule of law’,” katanya.

Ahmad Maslan kemudian bangun bertanyakan pencerahan Tun Mahathir berhubung sijil palsu pula namun tidak dijawab selain daripada dicelah serta diminta duduk oleh Yang diPertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof.

“Sijil palsu tidak jawab Tun, tolong jawab,” ujar Ahmad Maslan.

Boleh kedengaran rasa tidak berpuas hati dalam kalangan blok pembangkang namun ia tidak mendapat perhatian pihak kerajaan mahupun Mahathir sendiri.

Isu penggunaan sijil akademik palsu mendapat perhatian umum berikutan pendedahan beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) didakwa memiliki sijil berkenaan.

Sebelum ini, kelayakan akademik Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahaya; Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong diragui.

Malah, terdapat beberapa pemimpin PH dikaitkan dengan isu sama antaranya sijil yang dimiliki Menteri Kewangan, Lim Guan Eng serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraidah Kamaruddin. – MalaysiaGazette



Sumber: cempedakcheese.com