Umat Islam wajib bangkit tumbangkan kerajaan PH

MARANG – Umat Islam wajib bangkit menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekiranya pentadbiran sedia ada gagal bertindak segera terhadap mana-mana pihak yang menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW.

Penegasan itu dinyatakan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika berucap dalam Himpunan Aman Bantah Penghinaan kepada Rasulullah di pekarangan Masjid Rhu Muda di sini hari ini.

Menurut Tuan Ibrahim, kuasa politik yang dimiliki kalangan pemimpin PH yang beragama Islam bukan semata-mata untuk mencari kesenangan di dunia sebaliknya untuk mempertahankan agama Allah.

“Ingatlah kalau ada elemen mereka yang hina Nabi Muhammad SAW, kerajaan yang ada hari ini tidak bertindak segera, maka kita wajib bangkit menumbangkan kerajaan yang ada pada hari ini.

“Kita harus ingat kemenangan tidak ada makna kalau Nabi Muhammad SAW dihina, dimaki hamun dan dicerca. Ingatlah, harta benda kita tak ada nilainya kalau Nabi dicerca dan kita berpeluk tubuh tanpa bertindak sesuatu,” katanya.

Himpunan yang diadakan serentak di seluruh negara sejurus selepas solat Jumaat itu turut disertai Yang Dipertua Pas Marang, Yahaya Ali; Ketua Penerangan Pas Marang, Sulaiman Sulong dan Ketua Dewan Pemuda Pas Marang, Yusuf Abdul Hadi. – UTUSAN ONLINE



Sumber: cempedakcheese.com