Bolehkah Solat Ba’diyah Selepas Tempoh Yang Lama Selepas Solat Fardhu?

Posted on Tuesday, April 16, 2019 | 4/16/2019



Soalan:
Bolehkah solat sunat ba’diyah Isyak dilakukan selepas zikir dan majlis tahlil? Adakah masih dikatakan sunat ba’diyah?

Jawapan:
Solat ba’diyah Isyak ini merupakan sebahagian dari solat rawatib yang mu’akkad. Daripada Ibnu Umar R.Anhuma, dia berkata:

حَفِظْتُ مِنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَشْرَ رَكَعَاتٍ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ فِي بَيْتِهِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ فِي بَيْتِهِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلاَةِ الصُّبْحِ.
“Aku telah menghafaz (menjaga) daripada Nabi SAW tentang sepuluh rakaat (solat sunat) iaitu dua rakaat sebelum solat Zohor dan dua rakaat sesudahnya, dua rakaat setelah solat Maghrib di rumahnya, dua rakaat setelah solat Isyak di rumahnya dan dua rakaat sebelum solat Subuh.” [Riwayat al-Bukhari (1180)]

Berkenaan waktu pelaksanaannya, ia didirikan setelah mengerjakan solat Isyak dengan bilangan sebanyak dua rakaat. Rasulullah SAW mengerjakan solat ini di rumah.

Berdasarkan kepada nas di atas menunjukkan terdapat tempoh antara solat Isyak dengan solat ba’diyah Isyak. Ini kerana solat sunat tersebut dilakukan di rumah Baginda SAW sekalipun kita mengetahui rumah Baginda amat berhampiran dengan masjid.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, katanya:

..وَيُصَلِّي بِالنَّاسِ الْعِشَاءَ وَيَدْخُلُ بَيْتِي فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ..
“..Baginda SAW melakukan solat Isyak dengan orang ramai, kemudian Baginda masuk ke dalam rumahku lalu melakukan solat dua rakaat..” [Riwayat Muslim (730)]




Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, boleh dan tiada masalah. Yang pentingnya adalah dilakukan selepas waktu solat Isyak. Namun, amat disyorkan ia dilakukan sejurus selepas sembahyang, iaitu selepas berdoa maka boleh terus dilakukan solat sunat ba’diyah. Ini dengan makna supaya tempoh tersebut tidaklah terlalu lama selaras dengan maksud solat-solat tersebut sebagai solat rawatib yang memberi makna mengiringi solat. Justeru, diharapkan ia menepati dengan makna rawatib itu apabila dilakukan dalam tempoh tertentu iaitu selepas solat atau sebelum solat.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita melazimi solat-solat rawatib termasuklah solat ba’diyah Isyak. Allah SWT telah menjanjikan bagi mereka yang mengerjakannya dengan sebuah rumah di Syurga. Hal ini sepertimana dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ummu Habibah R.Anha, Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يُصَلِّي لِلَّهِ كُلَّ يَوْمٍ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً تَطَوُّعًا غَيْرَ فَرِيضَةٍ إِلاَّ بَنَى اللَّهُ لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ.
“Tidaklah seorang hamba Muslim mengerjakan solat kerana Allah dalam satu hari dua belas rakaat sebagai tathawwu’ dan bukan fardu, melainkan Allah akan mendirikan untuknya sebuah rumah di syurga.” [Riwayat Muslim (728)]

Kami akhiri perbincangan ini dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
“Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.” [Surah Ibrahim (40-41)]

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media
Blog, Updated at: 4/16/2019

0 comments: