Gadis disimbah minyak sebelum dibakar kerana enggan tarik balik laporan terhadap pengetua madrasah yang lakukan serangan seksual


Seorang pelajar tahfiz wanita meninggal dunia pada Rabu lalu di Hospital Dhaka selepas mengalami kecederaan parah dan melecur teruk akibat disimbah dengan minyak tanah sebelum dibakar dalam kejadian empat hari sebelumnya. 

Mangsa, Nusrat Rafi, 18, yang belajar di sebuah madrasah di Chittagong, selatan Bangladesh, diserang sekumpulan pelajar wanita di sekolah pada Sabtu. 

Mangsa diserang selepas dia dan keluarganya membuat aduan kepada polis yang mendakwa pengetua sekolah, Siraj-ud-Daula, yang melakukan serangan seksual. 

Bagaimanapun, mangsa tidak dapat diselamatkan dan keluarganya bersedih dengan kejadian yang menimpa Nusrat. 

"Nusrat Rafi meninggal dunia, kami sudah cuba memberikan rawatan yang terbaik," kata doktor. 

"Mereka bunuh anak perempuan saya, kami mahu tuntut keadilan!" kata ibu mangsa, Shirin Akter.




Menurut laporan perubatan, mangsa mengalami lecur 80 peratus dan separuh dari badannya diklasifikasikan melecur teruk. 

Isnin lalu, Perdana Menteri Sheikh Hasina mengarahkan mangsa diberikan rawatan terbaik dan dibawa ke Singapura untuk mendapatkan rawatan yang lebih bagus. 

Bagaimanapun, keadaan mangsa yang tidak stabil tidak mengizinkannya untuk menaiki penerbangan selama lima jam. 


Adik mangsa, Mahmudul Hasan, berkata, dia menemani kakaknya ke sekolah pada pagi Sabtu untuk menjalani peperiksaan sebelum didatangi seorang wanita yang memakai burka memaklumkan kawan Nusrat telah dipukul di atas bumbung. 

Setibanya di atas bumbung, mangsa ditahan empat lagi individu yang juga memakai burka meminta dia menarik balik dakwaan terhadap pengetua sekolah. Suspek kemudian menyimbah minyak pada mangsa sebelum dibakar. 

Hasan segera membawa kakaknya ke hospital. Mangsa juga ada memberitahu Hasan mengenai empat suspek terbabit dan juga dakwaan kes serangan seksual yang dibuatnya itu adalah benar serta dia enggan menarik balik laporan yang telah dibuat. 

"Saya akan terus protest, saya akan bawa perkara itu kepada perdana menteri," kata mangsa yang dirakam oleh adiknya sebelum disebarkan ke media sosial. 

Pihak polis juga sempat mengambil keterangan Nusrat di hospital pada Ahad lalu. 

Semenjak kejadian itu, orang awam berkumpul dan mendesak suspek kejadian ditahan dan dikenakan hukuman setimpal. 

"Mangsa seorang yang berani, dia menunjukkan kepada kita bagaimana membongkar kebenaran. Dia terus protest biarpun mengalami kecederaan sehingga meninggal dunia. Kami mahu menuntut keadilan untuknya" kata orang awam. 



Pihak polis telah menahan tujuh suspek termasuk pengetua berkenaan. 

Sementara itu, pihak berkuasa juga memaklumkan pegawai yang ditugaskan di Balai Polis Sonagazi, Moazzem Hossain, telah dipecat kerana tidak menjalankan tanggungjawabnya. 

Sumber: Benar News


Sumber : thereporter.my