Istinjak Menggunakan Tisu Tandas Apabila Ketiadaan Air

Posted on Wednesday, April 17, 2019 | 4/17/2019



Soalan:
Di tempat saya bekerja, tandasnya tiada air yang boleh digunakan untuk istinjak, jadi saya terpaksa menggunakan tisu tandas. Apa yang saya buat ialah, pertama menggunakan tisu tandas yang kering. Kedua saya menggunakan tisu tandas yang saya basahkan dengan air. Selepas itu, barulah saya melakukan istinjak yang sebenar iaitu menyapu tiga kali atau lebih menggunakan tisu tandas sehingga bersih. Adakah sah istinjak yang saya lakukan ini?

Jawapan:
Islam merupakan agama yang sangat mementingkan kebersihan. Allah SWT memerintahkan hamba-Nya supaya menyucikan diri daripada semua hadas, samada hadas kecil mahupun hadas besar sebelum menunaikan sebahagian ibadah seperti menunaikan solat, memegang mushaf al-Quran, tawaf dan lain-lain. Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ
“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.” (Surah al-Baqarah: 222)

Oleh itu, Allah SWT memerintahkan hamba-Nya untuk beristinjak bagi membersihkan diri daripada najis dan kekotoran yang keluar daripada qubul dan dubur dengan menggunakan air dan apa yang boleh menggantinya. Penggunaan air dalam beristinjak bukanlah suatu perkara yang wajib. Imam al-Nawawi menyebut bahawa para ulama’ Syafie bersepakat harus untuk beristinjak menggunakan batu dan benda-benda lain seumpamanya yang menepati syarat-syarat alat istinjak yang ditetapkan oleh para ulama’. (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2:130)

Syarat-syarat sesuatu yang selain air untuk boleh dijadikan alat istinjak ialah:
  • Pertama, hendaklah benda tersebut sesuatu yang suci dan bukan najis. Jika sekiranya seseorang itu beristinjak dengan sesuatu yang najis maka hendaklah dia membersihkannya sekali lagi dengan air.
  • Kedua, hendaklah benda tersebut kering dan kesat. Oleh itu, tidak sah benda yang bersifat licin dan basah.
  • Ketiga, hendaklah benda tersebut bukan sesuatu yang dihormati seperti makanan, tulang binatang dan lain-lain. (Rujuk Raudah al-Tolibin al-Nawawi, 1 : 68-69)




Antara bahan-bahan kesat dan kering yang boleh menggantikan air bagi istinjak ialah tisu tandas. Ini memandangkan tisu tandas itu mampu untuk menghilangkan najis dan membersihkan anggota badan. Walaubagaimanapun, jika sekiranya mampu untuk dia mendapatkan air bagi beristinjak, maka hendaklah dia melakukan demikian. Begitu jika sekiranya dia mampu untuk menghimpun kedua-duanya, iaitu dengan menghilangkan najis terlebih dahulu dengan benda kesat dan disudahi dengan membasuh dengan air, maka itu lebih afdhal. (Rujuk Kasyifat al-Saja, 266)

Justeru itu, cara yang terbaik untuk melakukan istinjak ialah dengan menggabungkan kedua-duanya tersebut iaitu bahan kesat dan air. Jika sekiranya ketiadaan air, maka hendaklah menggunakan bahan kesat sahaja tanpa membasahkan seperti yang dilakukan oleh saudara yang bertanya. Ini kerana jika ia dibasahkan dengan air dibimbingi bahawa najis tersebut akan merebak kepada tempat yang lain, sekaligus menyebabkan wajib untuk membersihkannya dengan air pula.

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyimpulkan boleh untuk kita menggunakan bahan kesat yang lain bagi menggantikan air. Kami menyatakan bahawa tisu tandas menepati syarat-syarat yang diletakkan para ulama’ terhadap bahan-bahan kesat bagi menggantikan air.

Justeru menggunakan tisu sebagai gantian kepada air adalah sah. Namun kami juga menyatakan bahawa jika mempunyai air dan mudah untuk didapati, sebaiknya hendaklah mendahulukan penggunaan air terlebih dahulu atau mengabungkan kedua-duanya. Semoga Allah SWT memberikan kita taufiq dan hidayah untuk memahami agamaNya mengamalkan syariahnya dengan sebaik mungkin. Amin. Wallahua’lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media
Blog, Updated at: 4/17/2019

0 comments:

Loading...