'Ada (bonus), kita akan isytiharkan kemudian' - PM


Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengesahkan kakitangan kerajaan persekutuan akan menikmati pemberian bonus bersempena perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi. Pemberian bonus itu juga membolehkan penjawat awam membuat persiapan bagi menyambut Aidilfitri pada Jun depan.

Bagaimanapun, jumlah Bonus Aidilfitri pada tahun ini akan dimaklumkan kemudian. 

"Ada...Kita akan isytiharkan kemudian," katanya ringkas.

Sementara itu, beberapa buah negeri telah mengumumkan jumlah bonus yang akan diberikan kepada kakitangannya. 

Kerajaan Negeri Johor bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2019 sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada penjawat awam negeri ini dan akan dibayar pada 21 Mei dan 31 Mei ini kepada 19,602 kakitangannya.

Kerajaan Negeri Perak pula mengumumkan seramai 13,390 kakitangannya akan menerima bonus kedua yang akan dibayar pada 16 Mei 2019, di mana bonus pertama telah dibayar pada Disember lalu. 

Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 13 Mei lalu mengumumkan pemberian setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada 3,905 anggota perkhidmatan awam negeri dan bayaran Bantuan Khas Kewangan (BKK) berkenaan akan dibuat pada 28 Mei 2019.

Kerajaan Negeri Melaka pula mengumumkan pemberian bonus sebanyak RM1,000 kepada 5,300 kakitangan awam di Melaka yang akan dibayar pada 23 Mei ini.

Kerajaan Negeri Sembilan pula mengumumkan bonus sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 yang dibayar pada 16 Mei 2019 kepada 3,481 kakitangannya. 

Kerajaan Negeri Sarawak mengumumkan bantuan khas Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam negeri itu yang akan dibayar pada minggu terakhir bulan ini.

Kerajaan Negeri Kedah mengumumkan bantuan khas RM1,000 kepada 4,711 penjawat awam negeri serta 316 pegawai lantikan kontrak dan sementara di negeri ini. Bayaran bantuan berkenaan akan dibuat pada 30 Mei ini.

Sementara itu, beberapa buah negeri masih belum mengumumkan keputusan sama ada akan memberi bonus kepada kakitangan kerajaan negeri seperti Kelantan, Pahang, Selangor, Terengganu dan Sabah. 

Difahamkan, Kerajaan Negeri Terengganu sedang mempertimbangkan pemberian bonus itu kerana mengalami masalah kekangan kewangan. 


Sumber : thereporter.my