Amalan terdahulu punca PTPTN terpaksa berhutang sehingga RM40 bilion

KUALA LUMPUR – Sistem dan amalan pembayaran balik jumlah pinjaman yang rendah sebelum ini menjadi punca Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kini menanggung hutang RM40 bilion, disifatkan lebih besar daripada hutang ditanggung 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) PTPTN, Mastura Mohd Khalid, berkata amalan terdahulu juga mengakibatkan prestasi bayaran balik pinjaman yang rendah dalam kalangan peminjam.

Menurutnya, amalan berkenaan memaksa perbadanan itu membuat pinjaman lebih besar dengan institusi kewangan bagi memastikannya terus mampu mengeluarkan pinjaman kepada pemohon baharu.

Katanya, implikasi daripada amalan lama ini akan mengakibatkan PTPTN menanggung hutang yang tinggi sehingga RM76 bilion dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Beliau berkata, masalah itu diburukkan lagi apabila hanya 49 peratus daripada keseluruhan tiga juta peminjam PTPTN melunaskan pinjaman mereka dan bakinya tidak membayar secara konsisten termasuk 19 peratus atau 356,000 peminjam tidak pernah membayar balik pinjaman mencecah RM2.8 bilion.

“Jumlah bayaran balik yang diterima hanya 58 peratus daripada jumlah sepatutnya. Sehingga akhir tahun 2018, jumlah tunggakan pinjaman mencecah RM6.3 bilion. Hanya 32.5 peratus daripada RM56 bilion yang dikeluarkan dibayar balik.

“Ketika ini PTPTN menanggung hutang RM40 bilion, lebih besar daripada 1MDB. Dalam tempoh 10 tahun lagi, hutang yang diunjurkan kami ialah RM55 bilion dan dalam tempoh 20 tahun, meningkat sehingga RM76 bilion,” katanya ketika membentangkan Kertas Konsultasi Rakyat (KKR) di Menara PTPTN, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan; Pengerusi Panel Konsultasi Rakyat, Sheikh Shahruddin Sheikh Salim dan ahli panelnya, Datuk Hussamuddin Yaacub serta Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor.

Mastura berkata, pada masa ini PTPTN mengalami masalah kewangan yang serius disebabkan sistem bayaran balik pinjaman yang rendah tetapi terpaksa mengeluarkan pinjaman kepada pemohon baharu.

Katanya, jika tiada perubahan drastik dilakukan, tidak mustahil PTPTN tidak akan mampu memberi pinjaman lagi dan mungkin terpaksa ditutup.

“Justeru, idea dan maklum balas yang diterima daripada KKR ini akan dapat membantu PTPTN mencari mekanisme bayaran balik pinjaman yang dapat memastikan kelangsungan perbadanan ini memberi pinjaman kepada pemohon baharu,” katanya.

Justeru, beliau mengakui penguatkuasaan yang lebih tegas perlu dilaksanakan bagi memastikan setiap peminjam melunaskan pinjaman termasuk mereka yang culas dan tidak pernah membayar pinjaman walaupun satu sen.

“Sekatan perjalanan ke luar negara yang dilaksanakan kerajaan pada tahun 2018 dilihat berkesan untuk memastikan peminjam membayar balik pinjaman.

“Daripada satu juta peminjam yang disekat untuk ke luar negara dengan jumlah pinjaman sebanyak RM20.7 bilion, seramai 640,000 peminjam membayar sebanyak RM2 bilion.

“Ini menunjukkan penguatkuasaan yang lebih tegas amat berkesan untuk menggalakkan peminjam membayar balik pinjaman,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata sekatan ke luar negara di lokasi pelepasan sangat menyusahkan peminjam, sekali gus mendorong PTPTN memikirkan langkah penguatkuasaan baharu yang akan dipertimbang untuk diperkenalkan.

Mastura berkata, hasil perbincangan meja bulat KKR, antara penguatkuasaan baharu yang dipertimbangkan ialah sekatan memperbaharui pasport, lesen memandu, cukai jalan kenderaan, pendaftaran perniagaan dan sekatan kelulusan pinjaman kepada ahli keluarga terdekat peminjam yang culas.

Sementara itu, Wan Saiful berkata, proses konsultasi rakyat ini bermula hari ini dan berakhir 13 Jun depan bagi membolehkan rakyat memberi maklum balas serta idea mengenai skim bayaran balik pinjaman baharu yang lebih berpatutan untuk dilaksanakan PTPTN serta memastikan perbadanan itu terus mampan menyediakan pinjaman kepada pemohon baharu.

Katanya, proses ini dilaksanakan dalam bentuk kajian dalam talian menerusi laman web rasmi PTPTN, sekali gus memberi peluang kepada orang awam mengambil bahagian dalam proses memutuskan dasar kerajaan.

“Sebanyak 10 idea dihasilkan menerusi beberapa sesi perbincangan meja bulat dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk ahli kewangan, Ahli Parlimen, agensi kerajaan dan kumpulan mahasiswa antara Januari hingga Mac lalu,” katanya.



Sumber: kulihatlangitbiru.com