Anwar dakwa pemimpin PH sudah berani pamer kemewahan

BANGI – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa bibit-bibit mempamerkan limpahan kekayaan sudah mula menonjol dalam kalangan pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, sebelum ‘sakit’ ini semakin parah dan membarah, lebih baik sekiranya badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat menegur kelompok yang berkuasa tersebut.

“Sebaik-baik sahabat dalam parti dan majlis ialah menegur (perbuatan tersebut) orang berkuasa itu kerana dalam sekelip mata limpahan kekayaan menonjol sekali.

“Bukan saja dalam BN, PH pun dah nampak bibit-bibit sedemikian. Luar biasa,” katanya, di sini, hari ini.

Terdahulu Anwar berbuka puasa di Majlis Iftar Perdana anjuran Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Alumni Kolej Dar al-Hikmah (KDH).

Anwar berkata, mungkin akan timbul kritikan sinis yang mengatakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak berani mengambil tindakan terhadap pemimpin yang berkuasa.

Namun, katanya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menjawab persoalan rasuah bukan monopoli UMNO dan BN semata-mata, sebaliknya ia melibatkan semua.

“Idealisme yang kita terapkan kepada penyokong PKR dan PH ialah tiada tolak ansur dengan rasuah dan kekayaan dalam keluarga. Ini berlaku dalam pimpinan PH.

“Peringatan saya supaya masyarakat agar tidak sesekali meremehkan dengan tanggapan dia sahabat kita, dia pemimpin kita dan kalau dia kaya melimpah tidak apa. Ini kabilah assabiyah yang patut ditinggalkan,” katanya.

Anwar mendakwa pernah ditegur dan diserang sebagai seorang yang kritikal kerana lantang dan sinis mempersoalkan SPRM berani untuk mengambil tindakan terhadap pemerintah hari ini.



Sumber: kulihatlangitbiru.com