Dana Raya hanyalah pelengkap kebajikan rakyat – Exco

(SIRI 1)

Kerajaan Negeri bercita-cita dan sentiasa berusaha untuk memenuhi segala kehendak dan keperluan rakyat dengan cara terbaik. Kerajaan Negeri juga menjadikan fekah Islam dan siasah syar’iyyah sebagai asas dalam mengurus kewangan negeri. Fekah Islam dan siasah syar’iyyah tidak boleh dipisahkan daripada fekah realiti dan prioriti (aulawiyat).

Kerajaan Negeri mengambil keputusan untuk melakukan islah atau penambahbaikian dalam perbelanjaan kewangan dan pengagihan supaya bertepatan dengan maslahah rakyat.

Oleh itu, objektif pengagihan Dana Raya mesti dinilai dan diteliti supaya ia tidak hanya bertujuan untuk menghulurkan duit bagi menjinak hati rakyat supaya melupai pembaziran dan pemborosan wang rakyat dalam projek-projek mega yang menyempitkan kewangan negeri.

Ianya bukan satu tindakan yang popular, kerana Kerajaan Negeri sekarang tidak berhasrat menjadikan Dana Raya sebagai gula-gula politik.

Sepatutnya, objektif Dana Raya bertujuan untuk melengkapkan sumbangan kebajikan kepada golongan tertentu untuk menyambut Aidilfitri.

Golongan miskin ini telah menerima sumbangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan agensi-agensi lain. Dana Raya hanya penyeri untuk menyambut hari lebaran sahaja kepada golongan ini.

Sudah tentu, pengagihan ‘one off’ tidak dapat menyelesaikan kemiskinan. Ia hanya teori beri ‘ikan’ untuk makan sehari dan terus akan terus menadah pada besoknya.

Rakyat tidak akan lupa keutamaan program kebajikan yang diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri yang memberi rasa keselesaan serta ketenangan yang berpanjangan seperti pengecualian cukai pintu rumah kediaman.

Semua rakyat merasainya dengan penjimatan duit mereka sekitar RM80 – RM200 setahun untuk membayar cukai pintu rumah kediaman. Mereka selamat daripada arahan DISITA.

Kerajaan Negeri terpaksa menanggung kehilangan hasil sebanyak RM15 juta setahun tapi sebanyak 139,693 keluarga merasai kebajikan dan keselesaan ini.

Dahulu rakyat bergembira sementara kerana Dana Raya untuk beli baju, tetapi runsing pula untuk membayar cukai pintu dan terdedah untuk DISITA. Dahulu Cukai Pintu Rumah Kediaman, rakyat kena bayar!

Anak muda pasti gembira dengan usaha Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM250 – RM300 untuk lesen motosikal. Ia memberi manfaat dan kebajikan kepada 25 ribu anak muda rakyat Terengganu.

Kerajaaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM7 juta setahun untuk menyalurkan kemudahan ini. Kini anak muda dapat memiliki lesen motosikal untuk kemudahan bertahun-tahun untuk terus berdikari, bebas ke sana ke mari mencari nafkah hidup.

Dulu tiada LESEN MOTOSIKAL TERENGGANU SEJAHTERA! Ini bermaksud Kerajaan Negeri Terengganu mahu memberi pancing kepada rakyat untuk mereka berusaha sendiri mencari rezeki mereka disamping bantuan-bantuan yang perlu dan bersasaran kepada mereka yang layak sahaja.

Bukan untuk memburukkan kerajaan dahulu dan bukan hendak meninggikan Kerajaan Negeri sekarang tapi itulah realiti yang perlu difikir bersama. Adakah inisiatif dan usaha ini boleh dilaksanakan, jika Kerajaan BN memerintah Terengganu dan PH memerintah Malaysia? Kita tunggu PRU 15 untuk membina Kerajaan Malaysia atas permuafakatan PAS dan UMNO yang mampu untuk melakukan yang lebih baik. InsyaAllah!

BERSAMBUNG, INSYAALLAH!

YB USTAZ MOHD NOR BIN HAMZAH
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan.
15 Mei 2019 / 10 Ramadan 1440H



Sumber: kulihatlangitbiru.com