Dana Tabung Harapan akan diguna langsai hutang 1MDB – Guan Eng

PUTRAJAYA – Mesyuarat Jawatankuasa Akaun Amanah yang berlangsung pada 24 April lalu telah memutuskan bahawa kesemua dana dalam Tabung Harapan akan digunakan bagi melunaskan sebahagian hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang berjumlah RM1,704.78 juta bagi tahun ini.

Meskipun dana tabung berkenaan tidak mungkin boleh melangsaikan semua hutang 1MDB sebanyak RM51 bilion, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Tabung Harapan akan kekal menjadi simbol semangat taat setia dan patriotisme rakyat Malaysia untuk melangsaikan hutang negara.

“Kerajaan dengan ini ingin sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat seluruh rakyat Malaysia yang telah memberikan sumbangan ke dalam tabung ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, kerajaan melalui siaran media Kementerian Kewangan bertarikh 7 Februari lalu telah memaklumkan bahawa baki akhir sehingga 14 Januari lalu iaitu tarikh akhir penerimaan sumbangan ke dalam tabung itu adalah sebanyak RM202,716,775.

“Selanjutnya, pelaburan simpanan tetap yang ditadbir oleh Jabatan Akauntan Negara telah dilaksanakan dan faedah pelaburan yang diterima sehingga 31 Mac lalu adalah sebanyak RM575,342, menjadikan jumlah terkini akaun amanah tabung berkenaan adalah berjumlah RM203,292,117,” katanya. – UTUSAN ONLINE



Sumber: kulihatlangitbiru.com