Farid Kamil dihukum penjara selama 9 bulan mulai hari ini


Mahkamah Majistret Petaling hari ini menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan terhadap pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari atas kesalahan menggunakan dadah jenis ganja Tetra Hydrocannibol (THC) Januari tahun lalu. 

Majistret Nor Ariffin Hisham membuat keputusan itu selepas Farid yang sepatutnya membela diri hari ini memilih untuk berdiam diri. 

Hukuman itu tidak dibenarkan ditangguhkan dan Farid akan menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang mulai hari ini. 

Mengikut pertuduhan, Farid didakwa menggunakan THC yang juga dadah ditemui pada ganja di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 4.30 petang, 11 Januari 2018. 

Farid didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 

Sumber: Harian Metro


Sumber : thereporter.my