Kerajaan PH tubuh Pejabat Pengurusan Hutang mantapkan kewangan negara

KUALA LUMPUR: Kerajaan menubuhkan Pejabat Pengurusan Hutang (PPH) yang bertanggungjawab menyemak dan menguruskan hutang dan liabiliti negara bagi memantapkan sistem kewangan dan kedudukan fiskalnya.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata PPH akan memantau penerbitan hutang dan mencadangkan penstrukturan oleh kerajaan Persekutuan, badan berkanun dan Syarikat Tujuan Khas (SPV) secara holistik.

Katanya, kerajaan berhasrat untuk mengelakkan berlakunya bayaran khidmat hutang yang lebih tinggi dan tidak bertanggungjawab akibat kelemahan koordinasi dalam penerbitan pinjaman.

“PPH ditubuhkan sebagai salah satu langkah dalam usaha berterusan kerajaan untuk mengatasi dan menyelesaikan masalah hutang dan liabiliti kerajaan yang disembunyikan yang telah mencecah RM1 trilion sejak 2017.

“Ia adalah di antara reformasi institusi yang akan memantapkan sistem kewangan dan fiskal kerajaan yang dilihat sebagai penting oleh syarikat penarafan kredit antarabangsa.

“Penubuhannya juga bertujuan mengawal hutang kerajaan supaya tidak terus hilang kawalan dan memastikan pinjaman hutang secara sesuka hati tanpa sebab munasabah tidak berulang lagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Mengulas lanjut Guan Eng berkata, PPH akan menjalankan langkah-langkah berikut iaitu menjadualkan terbitan bon dan pinjaman kerajaan, syarikat-syarikat milik kerajaan dan badan-badan berkanun secara teratur untuk memastikan kadar kupon dan faedah yang paling rendah.

“Menstruktur semula bon-bon dan pinjaman di mana kos pembiayaan dapat dikurangkan untuk menjimatkan peruntukan pembayaran balik hutang dan merancang strategi-strategi untuk mengurangkan beban hutang kerajaan pada masa akan datang,” katanya.

PPH akan dipengerusikan oleh beliau sendiri katanya dan telahpun dipersetujui Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan akan turut dianggotai Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir; Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen; Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus; Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Syed Zaid Albar;

“Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz; Akauntan Negara Malaysia, Datuk Saat Esa; Pengerusi Eksekutif PricewaterhouseCoopers (PwC) Malaysia, Datuk Mohammad Faiz Azmi dan Penasihat Ekonomi Kepada Perdana Menteri, Dr Muhammad Abdul Khalid.

“PPH akan berkuatkuasa serta-merta bagi membolehkan strategi untuk mengurangkan hutang negara dapat dirangka dan pelan tindakan dilaksana. Strategi dan pelan yang dirangka akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Dasar Fiskal yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri,” katanya



Sumber: kulihatlangitbiru.com