KPDNHEP belum terima aduan harga barang naik mendadak

KULIM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) belum menerima sebarang aduan berhubung kenaikan mendadak barangan keperluan.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau menerima laporan kenaikan harga setiap hari melalui sistem aduan kementerian, tetapi belum ada berkenaan kenaikan mendadak.

“Jika ada, pegawai-pegawai KPDNHEP akan maklumkan saya segera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis sumbangan raya untuk 50 pesara polis dan 30 tentera serta asnaf di Dewan Kulim Inn hari ini.

Terdahulu, Saifuddin turut menyerahkan sumbangan kerusi roda bagi kali ke-100 kepada penerima terpilih serta melancarkan Khidmat Guaman Percuma.

Beliau berkata, bekalan barangan keperluan dan harga ketika ini terjamin dan terkawal.

Menurutnya, dua elemen itu akan terus dipantau dalam Skim Kawalan Harga Maksimum (SKHM) akan bermula pada 21 Mei selama 30 hari.

“Sistem itu berlangsung 15 hari sebelum hari perayaan, pada hari perayaan dan bakinya 14 hari lagi selepas hari perayaan. Kita sedang tunggu tempoh 30 hari untuk SKHM,” katanya.

Mengulas lanjut pelancaran Khidmat Guaman Percuma, Saifuddin berkata, ia bertujuan membantu rakyat dalam Parlimen Kulim-Bandar Baharu mendapatkan khidmat guaman secara percuma.

Menurutnya, pihaknya merancang mengadakan khidmat itu sebulan sekali pada hari Ahad di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu dengan memfokuskan kes-kes sivil.



Sumber: kulihatlangitbiru.com