Lalu sahaja, jangan berhenti ambil gambar di drawbridge – MB Terengganu

Posted on Wednesday, May 22, 2019 | 5/22/2019


KUALA TERENGGANU – Jambatan ikonik Terengganu Jambatan Angkat atau Drawbridge di sini akan dibuka kepada orang ramai bagi tempoh percubaan iaitu dari 2 hingga 17 Jun ini.

Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pembukaan selama 16 hari itu memberi peluang kepada orang ramai memanfaatkan kemudahan itu pada perayaan Aidilfitri nanti.

Menurutnya, laluan jambatan yang menyediakan empat lorong itu akan ditutup semula pada 17 Jun untuk tempoh tertentu sebelum operasinya dibuka sepenuhnya.

“Orang ramai boleh mula menggunakan pada 2 haribulan hingga 17 haribulan. Tujuan diadakan tempoh itu adalah untuk kita cuba dan kita kenal pasti masalah-masalah yang mungkin timbul.

“Pun begitu, ingatan kita agar semua pengguna Drawbridge itu tidak berhenti di atas Drawbridge atas apa alasan sekalipun, walaupun untuk ambil gambar dan sebagainya. Tidak boleh.

“Jadi, kita minta, lalu sahaja. Selepas tempoh 17 haribulan, kita akan tutup untuk kenal pasti apa masalah yang timbul dan baiki masalah sebelum kita buka balik di hari yang kita tentukan kemudian,” kata Ahmad Samsuri pada Selasa.

Pada masa ini, mercu tanda ikonik Terengganu itu sudah mencapai 99 peratus siap dan pihak kerajaan negeri sedang bertungkus lumus bagi memastikannya siap sepenuhnya secepat mungkin.

Jambatan angkat yang merupakan komponen Kuala Terenggani City Centre (KTCC) itu bakal menjadi produk pelancongan terbaru negeri itu.

Jambatan ikonik pertama di Asia Tenggara itu menghubungkan muara selatan di pusat bandar raya Kuala Terengganu dan muara utara di Seberang Takir.



Sumber: kulihatlangitbiru.com
Blog, Updated at: 5/22/2019

0 comments:

Loading...