Lee Tuck sedih, terkejut dan kecewa


KUALA TERENGGANU: Kapten Terengganu FC (TFC) Lee Tuck mengakui dia begitu sedih dan terkejut dengan peletakan jawatan ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim ketika pemain memerlukan sentuhan magisnya untuk mengatas kemerosotan prestasi pasukan.

Malah, pemain berdarah kacukan England-Malaysia itu berpendapat tindakan drastik jurulatih berpengalaman berkenaan meletak jawatan bukan langkah terbaik lebih-lebih lagi pasukan kini dipalit insiden kekalahan memalukan.

Bagaimanapun arkitek yang digelar 'Rooney Ganu' itu terpaksa akur dengan keputusan gurunya itu biarpun hakikatnya dia dan rakan sepasukan begitu pahit untuk menerima kenyataan itu selain mengharapkan pemangku, Nafuzi Zain mampu melakukan kebangkitan.

"Sejujurnya saya begitu sedih dan sangat terkejut selain tidak menyangka peletakan jawatan bos saya itu… dia seorang yang baik dan saya sangat hormat kepadanya sebagai seorang jurulatih berkaliber," kata pemain kelahiran Halifax, England itu.

"Sepanjang hampir dua tahun mendapat tunjuk ajarnya, beliau berjaya melaksanakan tugas yang berkesan dan menakjubkan ketika membimbing TFC sehingga kami layak ke final Piala Malaysia musim lalu, saya begitu beruntung.

"Bagi saya, dia tidak sepatutnya mengambil keputusan itu, tetapi inilah bola sepak kerana adakala kita berada di atas dan adakala kita di bawah, Irfan memilih untuk meninggalkan pasukan.

"Saya harap penyokong setia pasukan dapat memahami impak positif yang dibawa Irfan sepanjang dua tahun dia bersama TFC dan saya juga fikirkan yang terbaik untuknya pada masa akan datang.”

Mengenai pertembungan dengan The Fighters malam esok, pemain itu menggesa rakan sepasukan untuk bangkit bagi mengembalikan semula maruah dan keyakinan pasukan yang tercalar sebelum ini.

"Perjuangan perlu diteruskan, kerana sebagai pemain kita tetap perlu pamerkan aksi yang terbaik setiap kali bermain, lagipun ini adalah karier kita.

"Saya harap kekalahan memalukan 5-3 kepada Petaling Jaya City FC (PJ City) tempoh hari sehingga Irfan mengambil keputusan letak jawatan tidak akan berulang kerana kami sedar mula hilang fokus pada babak kedua dalam perlawanan itu.

"Selain itu saya akui ia persembahan yang buruk apatah lagi bolos lima gol dalam masa singkat selepas mendahului 3-0, apapun kami tetap bersatu dan perlu menang dalam masa 90 minit," katanya. - Berita Harian