MB Terengganu beri amaran kepada pemilik ternakan

Posted on Wednesday, May 29, 2019 | 5/29/2019


KUALA TERENGGANU – Pemilik haiwan ternakan diberi amaran supaya mengawal pergerakan ternakan masing-masing dan tidak membiarkan berkeliaran sehingga memasuki laluan utama kenderaan terutama Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2).

Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia sebagai langkah berjaga-jaga terutama ketika perayaan Aidilfitri ini kerana negeri ini bakal menerima jumlah kemasukan kenderaan yang tinggi melibatkan perantau yang pulang dari ibu kota.

“Tindakan membiarkan haiwan ternakan berkeliaran bukan sahaja mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya malah merugikan pemilik jika ternakannya mati dirempuh kenderaan.

“Kewujudan haiwan pada musim perayaan ini sama ada di LPT atau laluan lain mengganggu kelancaran trafik. Bila ada satu tempat sahaja terganggu, ia akan menyebabkan semua tempat tergendala,” katanya selepas melawat kerja-kerja akhir di jambatan angkat di sini semalam.

Dalam pada itu, katanya, pihaknya bersedia mengkaji kembali denda dikenakan kepada pemilik haiwan ternakan yang dibiarkan berkeliaran di jalan raya.

“Langkah ini bagi memberi kesedaran kepada pemilik haiwan berkenaan kerana akibat kelalaian itu, ia memberi kesan besar sehingga meragut nyawa individu lain.

“Sebelum ini pihak berkuasa tempatan (PBT) mengumumkan kompaun sebanyak RM250 dikenakan kepada haiwan peliharaan berkeliaran di jalan raya,” katanya.

Dr Ahmad Samsuri berkata, setakat ini, jumlah kompaun yang ditetapkan dan akan dikenakan bergantung pada jenis haiwan iaitu sebanyak RM250 bagi lembu dan kambing RM100.



Sumber: kulihatlangitbiru.com
Blog, Updated at: 5/29/2019

0 comments:

Loading...