MPNF rayu beri ‘duit raya’ kepada peneroka Felda

PETALING JAYA – Majlis Permuafakatan NGO Felda (MPNF) merayu kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk terus memberi ‘duit raya’ atau bantuan sempena sambutan Aidilfitri tahun ini kepada peneroka Felda.

Pengerusinya, Datuk Mazlan Aliman berkata, hal itu susulan pendapatan peneroka yang tidak stabil mengikut harga komoditi kelapa sawit semasa di samping kos sara hidup yang semakin meningkat.

Jelas beliau, malah pemberian insentif itu menjadi amalan sejak 2011 bagi memberi galakan kepada golongan peneroka Felda.

“Saya ingin mengambil kesempatan merayu kerajaan PH memberi bantuan ‘duit raya’ seperti amalan kerajaan sebelum ini yang menghulurkan bantuan sebanyak RM400 kepada setiap peneroka. MPNF yakin keprihatinan kerajaan hari ini dapat berikan (bantuan) seminggu sebelum raya.

“Oleh kerana model baharu dalam Kertas Putih Felda yang dibentangkan sebelum ini pun belum lagi melihat sebarang keputusan dibuat, jadi kebergantungan peneroka masih tinggi terhadap kerajaan. Kalau boleh bantuan itu juga tidaklah kurang daripada RM400,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai Kertas Putih Felda di Kota Damansara, di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Persatuan Alumni Asrama Felda Malaysia, Khairul Annuar Danial, Pengerusi Pertubuhan Suara Generasi Kedua Felda, Mohammad Stap Othman dan Sekretariat II MPNF, Mohd. Azlan Ismail. – UTUSAN ONLINE



Sumber: kulihatlangitbiru.com