PBSNT akan kaji kekalahan memalukan TFC

KUALA TERENGGANU – Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan melakukan bedah siasat terhadap kekalahan memalukan Terengganu FC (TFC) kepada Petaling Jaya City FC (PJ City) pada aksi Liga Super, semalam.

Presidennya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata bedah siasat itu penting bagi mengenal pasti punca kemerosotan prestasi pemain TFC sehingga skuad penyu itu tewas 3-5 di tangan pendatang baharu Liga Super itu di gelanggang sendiri.

“Saya rasa semua pihak kecewa dengan prestasi TFC malam tadi (semalam). Tetapi kita akan tengok balik apa sebenarnya berlaku sehingga perlawanan berakhir begitu teruk sekali.

“Daripada kita hampir menang pada awalnya, di saat-saat akhir kita boleh kalah pula. Kita akan tengok balik secara keseluruhan.

“Kita tidak ragu-ragu tentang keupayaan jurulatih kita, tetapi kita akan tengok balik di mana kelemahan strategi dan apakah perkara yang menyumbang kepada kekalahan itu, kita ambil serius,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan EXCO di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, beliau maklum prestasi setiap pemain ada ada turun dan naik, tetapi mereka perlu mencari jalan keluar untuk meminimumkan kekalahan.

“Macam pasaran saham juga ada turun naik, begitu juga prestasi pemain. Ini juga berlaku pada pasukan hebat di luar negara malah kelab terkemuka dalam Liga Perdana Inggeris sekali pun.

“Cuma kita harap proses turun naik (prestasi) itu tidaklah begitu besar. Kita faham ada hari prestasi pemain kurang menyerlah, yang penting kita cari jalan untuk meminimumkan kekalahan dalam perlawanan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga sering berbincang dengan jurulatih setiap kali pertemuan dan prestasi buruk TFC semalam harus diambil serius oleh pihak pengurusan.

Dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, semalam, TFC mendahului 3-0 pada babak pertama perlawanan namun skuad The Pheonix tidak luntur semangat apabila bangkit bertenaga pada babak kedua sebelum mencatat kemenangan 5-3.

Kekalahan tidak dijangka itu menyebabkan lebih 200 peminat setia TFC berkumpul di luar pintu masuk utama stadium sejurus tamat perlawanan sebagai tanda protes berikutan prestasi memalukan pemain.

Peminat tegar skuad Penyu itu turut berkumpul dengan melaungkan kata-kata ‘pedas’ termasuk meminta pihak pengurusan PBSNT melakukan rombakan terhadap pemain termasuk awang import kerana gagal mempamerkan aksi terbaik.



Sumber: kulihatlangitbiru.com