PBSNT Pertahan Irfan Bakti

Posted on Wednesday, May 15, 2019 | 5/15/2019



Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mempertahankan jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim, ekoran prestasi hambar Terengganu FC (TFC) ketika ini.

Presiden PBSNT, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata pihaknya tidak meragui kemampuan Irfan walaupun berdepan desakan penyokong untuk menilai kedudukan jurulatih itu.

Namun, situasi genting yang dihadapi TFC tetap dipandang serius dengan bedah siasat akan dilakukan seberapa segera bagi mengelakkan keadaan menjadi semakin parah.

Menurut Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar (MB) Terengganu, PBSNT akan menilai kelemahan serta mencari jalan menyelesaikan prestasi turun naik pasukan itu.

"Tidak ada ragu-ragu terhadap jurulatih (Irfan Bakti) kerana kami sentiasa berbincang serta berkomunikasi tetapi pihak pengurusan ambil serius isu ini.

"Bola itu bulat dan prestasi pemain ada turun naiknya. Begitu juga ada harinya bagus ada harinya serba tidak menjadi," katanya selepas Mesyuarat EXCO, hari ini.

Ahmad Samsuri memberi reaksi selepas kira-kira 200 peminat TFC berkumpul di depan pintu masuk utama stadium, malam tadi, susulan kekalahan 3-5 kepada PJ City FC selepas pasukan tuan rumah itu mendahului 3-0.

Kritikan pedas turut dilontarkan dalam protes aman selama lebih setengah jam itu menuntut penjelasan PBSNT selepas TFC turut disingkirkan dalam Piala FA, Jumaat lalu.

Protes itu kemudian disuraikan pihak keselamatan selepas bas membawa pemain dan pegawai pasukan beredar meninggalkan perkarangan stadium.

"Kedatangan kami bukan untuk merusuh, sebaliknya atas dasar perasaan sayang kepada pasukan negeri.

"Sukar untuk membayangkan tewas 3-5 walaupun mendahului 3-0 dan kami bagaikan tertipu dengan aksi tidak bersemangat TFC," kata penyokong tegar, Ariffin Mat Ali, 57. - Arena
Blog, Updated at: 5/15/2019

0 comments:

Loading...