Polis buru abang botak samseng

SUSULAN kejadian seorang lelaki berkepala botak menghentak cermin kereta sehingga pecah, pemilik kereta telah membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Sehubungan itu, pihak polis kini sedang giat mencari suspek untuk ditahan mengikut mengikut Seksyen 427/506 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan ugutan dan khianat sehingga menyebabkan kerosakan pada harta awam atau persendirian.

“Pihak polis ingin mengingatkan kepada orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri dan menyerahkan siasatan kepada polis jika mempunyai maklumat,” kata Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan.

Menurutnya, kejadian itu berlaku di Jalan Kasturi, Seksyen 12, Taman Bukit Serdang jam 5.30 petang kelmarin.

Dalam kejadian itu, seorang penunggang motosikal samseng bertindak menghentak cermin sebuah kereta sehingga retak kerana dikatakan tidak berpuas hati apabila pemandunya membunyikan hon.

Tindakan samseng penunggang motosikal itu dirakam pemandu kereta berkenaan menggunakan kamera ‘dashcam’ dan tular di Facebook sejak semalam.

Menerusi rakaman video berdurasi tiga minit itu, lelaki berkenaan bersama seorang lagi rakannya yang menunggang dua motosikal berbeza sedang berbual sambil menunggang.

Tindakannya itu menghalang lalu-lintas dan dipercayai menyebabkan pemandu kereta terpaksa membunyikan hon.

Bagaimanapun, selepas berjaya memotong dua motosikal berkenaan, kereta dipandu mangsa dihalang oleh seorang penunggang motosikal sebelum berhenti mengejut di sebelah kanan.

Lelaki berkenaan kemudian menghentak cermin kereta mangsa sehingga retak dipercayai kerana tidak berpuas hati dengan tindakan membunyikan hon.



Sumber: kulihatlangitbiru.com