Polis tahan lelaki serang dua wanita di Kota Bharu

KOTA BHARU – Polis menahan seorang lelaki berusia 26 tahun yang dipercayai terlibat dalam serangan ke atas dua wanita yang berada dalam sebuah kereta di Pasar Malam Parit Dalam di sini sehingga menyebabkan video kejadian itu tular dalam laman sosial hari ini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, pihaknya juga sedang mengesan beberapa lagi suspek yang terlibat dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam tadi.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana memiliki senjata dan merusuh; Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat untuk merosakan harta benda dan Seksyen 506 kanun yang sama kerana ugutan jenayah.

“Hasil siasatan mendapati semasa kejadian berlaku di jalan hadapan Bazar Buluh Kubu. Pengadu yang merupakan seorang wanita berusia 40 tahun mengesyaki orang ramai marah kerana melalui jalan yang sempit dan pengadu tidak sedar kemungkinan telah tergesel dengan orang atau gerai jualan di kawasan itu.

“Semasa kejadian pengadu bersama adik dan dua anaknya berada dalam kereta itu. Suspek telah bertindak menendang dan memecahkan cermin kereta mangsa dan mengugut untuk mencederakannya,” katanya di sini hari ini. – Bernama



Sumber: kulihatlangitbiru.com