PRK Sandakan: Wan Azizah rayu rakyat pilih PH, tolak pembangkang

SANDAKAN – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meminta rakyat supaya menyokong calon DAP, Vivian Wong Shir Yee dan menolak parti pembangkang.

Presiden Pakatan Harapan (PH) itu berkata, Sandakan memerlukan transformasi dan menggesa rakyat supaya tidak menukar parti pemerintah.

“Mendiang Datuk Stephen Wong memberikan hayatnya dan berkhidmat sehingga dia meninggal dunia. Sekarang anaknya mahu meneruskan legasi. Kita harus beri Vivian peluang dan beri kemenangan kepadanya pada 11 Mei.

“Kita ada rancangan untuk Sabah dan Sarawak. Kita berdepan masalah 1MDB dan jika tiada penyelewengan (wang), Sandakan sudah lama membangun kerana Barisan Nasional (BN) sudah terlalu lama memerintah.

“Rakyat tanya bila mereka akan menerima pembangunan. Kita (kerajaan PH) akan pastikan ini (pembangunan) kerana kita diberi mandat,” katanya berucap pada Ceramah Umum di Kampung Sim-Sim di sini, hari ini.

Dr Wan Azizah turut menggesa rakyat agar terus menyokong parti pemerintah sambil menegaskan PKR, DAP dan Parti Warisan Sabah (WARISAN) boleh ‘kautim’ (bekerjasama).

Menyifatkan Sabah sebagai daerah pesisir pantai yang indah, beliau berkata, sektor pelancongan mampu membawa pembangunan ekonomi kepada kawasan berkenaan.

“Ini yang kita mahu Vivian bawa suara rakyat Sandakan (ke Parlimen). Kita tidak pernah terfikir kita dapat ‘ubah’ (kerajaan) dan kita akan pastikan kita kekal,” katanya.‘

Sementara itu, Vivian dalam ucapannya memberi keyakinan kepada rakyat bahawa usia muda tidak menjadi masalah baginya untuk mewakili suara rakyat ke Parlimen.

Beliau berkata, sudah tiba masanya untuk Sandakan memiliki pemimpin wanita kerana semua wakil rakyat di daerah ini adalah lelaki.

“Saya boleh membawa suara wanita dan kanak-kanak. Kita juga memerlukan pemimpin muda untuk mewakili remaja supaya suara di Parlimen lebih seimbang,” kata calon berusia 30 tahun itu.

Beliau juga menepis tanggapan orang ramai yang mempersoalkan usia dan pengalamannya sambil mengambil contoh Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berusia lingkungan 20-an ketika dipilih menjadi wakil rakyat.



Sumber: kulihatlangitbiru.com