PTPTN: Larangan ke luar negara akan dilaksana semula jika itu rakyat mahu – Wan Saiful

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan mengemukakan cadangan kepada Kabinet untuk memperkenalkan semula larangan ke luar negara bagi peminjam ingkar, jika rakyat mahu.

Bagaimanapun, Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata Putrajaya akan membuat keputusan muktamad berhubung larangan itu yang merupakan satu daripada cara berkesan untuk peminjam ingkar membayar balik pinjaman mereka.

“Jika rakyat mahu, kami akan kemukakan kepada Kabinet, tetapi keputusan bukan di tangan kami,” katanya ketika merasmikan inisiatif rundingan awam di ibu pejabat PTPTN di sini, hari ini.

Rundingan awam dalam bentuk tinjauan atas talian itu bermula hari ini sehingga 13 Jun nanti untuk mendapat maklum balas mengenai cadangan memperkenalkan skim mampu bayar balik pinjaman pendidikan baru dan langkah menambah baik kelangsungan pinjaman PTPTN.

Mac lalu, Wan Saiful dilaporkan berkata, PTPTN tidak bercadang memperkenalkan semula larangan ke luar negara, walaupun idea itu timbul sebagai antara cara untuk menangani peminjam ingkar.

Dalam ucapannya hari ini, Wan Saiful berkata langkah membatalkan larangan itu mendapat kritikan pelbagai pihak, tetapi ia memanfaatkan kira-kira 400,000 peminjam.

Katanya, ada pengkritik berpendapat PTPTN memberi layanan istimewa kepada peminjam.

“Tetapi, ia mencerminkan keseriusan kami dalam mengotakan janji kami bagi memastikan belia tidak dibebani kos sara hidup.”

Terdahulu, Timbalan Ketua Eksekutif PTPTN (Dasar dan operasi), Mastura Mohd Khalid berkata larangan ke luar negara yang dilaksanakan kerajaan tahun lalu berkesan kerana kira-kira 684,000 peminjam membayar balik pinjaman berjumlah RM2 bilion.

Katanya, kira-kira sejuta peminjam dilarang ke luar negara.

“Lebih 2/3 peminjam PTPTN mula membayar pinjaman mereka selepas kami melaksanakan larangan ke luar negara,” katanya sambil menambah 332,000 peminjam belum membayar balik pinjaman.

“Tetapi, kami perlu batalkannya kerana ia menyusahkan.”

Mastura berkata, PTPTN sedang mempertimbangkan langkah lain untuk peminjam membayar hutang mereka berdasarkan maklum balas daripada perbincangan dengan pemegang berkepentingan, termasuk melarang peminjam ingkar memperbaharui pasport, lesen memandu dan cukai jalan kenderaan mereka.

Satu lagi cadangan ialah PTPTN menolak permohonan waris terdekat peminjam ingkar.

Idea lain terbuka kepada orang ramai berdasarkan perbincangan dengan pemegang berkepentingan termasuk pemotongan gaji mandatori, melaksanakan sistem penjamin, mengubah sistem pembayaran balik dan menaikkan kadar ujrah 1% sedia ada bagi peminjam baru.



Sumber: kulihatlangitbiru.com