Tarikh dilantik PM ke-8 sedang dibincang – Anwar

BANGI – Tarikh untuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik menjadi Perdana Menteri kelapan, sedang dibincangkan bersama Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketika memaklumkan perkara itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, berkata perbincangan antaranya dengan Perdana Menteri itu berjalan baik.

“Soal tarikh dan sebagainya (mengenai pelantikan sebagai Perdana Menteri) biarlah beliau (Dr Mahathir) berbincang dengan saya seperti yang sedang berlaku dengan baik.

“Saya tidak ada masalah sama sekali kerana Dr Mahathir punya peranan pada masa sekarang dan beliau harus diberi ruang.

“Andai kata saya ambil alih (kepimpinan) pun, peranan Dr Mahathir tetap ada sebagai seorang negarawan yang banyak berjasa kepada negara kita. Saya tidak fikir isu (penyerahan kuasa ini) adalah masalah,” katanya kepada media selepas menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Belia Kebangsaan 2019 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas proses pelantikannya sebagai Perdana Menteri yang dijangka dalam tempoh kira-kira setahun dari sekarang, berdasarkan perjanjian dicapai bersama parti komponen Pakatan Harapan (PH) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ditanya mengenai ‘ulang tahun’ pembebasannya daripada penjara yang genap setahun esok, Anwar menzahirkan rasa syukur dan memanfaatkan kebebasan itu dengan menemui pelbagai pihak dari dalam dan keluar negara menemui rakan lama.

Anwar mendapat pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada 16 Mei tahun lalu selepas rayuan pengampunan penuhnya dipertimbangkan pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.



Sumber: kulihatlangitbiru.com