Terengganu belum tetapkan jumlah bonus, dana raya akibat kekangan kewangan

KUALA TERENGGANU: Lebih 12,700 penjawat awam di Terengganu akan menerima bonus sempena Aidilfitri, namun jumlahnya masih belum ditetapkan.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata selain itu kerajaan negeri juga perlu melakukan agihan dana raya yang lebih berfokus dengan menyasarkan golongan miskin dan sangat memerlukan berikutan kekangan kewangan.

Beliau berkata, kekangan kewangan menyebabkan kerajaan negeri terpaksa mempertimbangkan banyak perkara sebelum memutuskan jumlah bonus penjawat awam dan dana raya untuk rakyat yang akan diberikan.

Katanya, untuk tahun ini, kerajaan negeri sepatutnya menerima wang hasil RM400 juta, namun wang yang merangkumi bayaran hutang oleh Kerajaan Persekutuan itu belum diperoleh, selain penolakan hutang kerajaan negeri oleh Kerajaan Persekutuan.

“Isu kekangan kewangan ini antaranya apabila sehingga hari ini kita masih belum menerima bayaran hutang wang royalti RM220 juta untuk 2019 yang sepatutnya diterima pada Januari setiap tahun daripada Kerajaan Persekutuan.

“Selain itu, Kerajaan Persekutuan juga membuat pemotongan hutang kerajaan negeri secara drastik sebanyak 25 peratus daripada Wang Tunai Petroleum yang menyebabkan negeri kehilangan RM186 juta.

“Malah, terimaan kita pada Januari yang sebahagian kecil daripada yang sepatutnya diterima pada tahun lalu juga dipotong sebanyak 25 peratus oleh Kerajaan Persekutuan.

“Jadi mengambil kira keadaan kewangan semasa dan ditambah dengan bayaran berjadual serta bayaran tertunggak yang merupakan komitmen kerajaan negeri daripada projek dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, maka pertimbangan harus dibuat untuk kita lakukan pelarasan semula daripada segi agihan bonus penjawat awam dan dana raya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Tahun lalu penjawat awam Terengganu menerima bonus raya berjumlah RM500, manakala 276,541 pemohon menerima manfaat dana raya membabitkan peruntukan RM69.13 juta.

Bantuan tahunan kerajaan negeri itu diagihkan mengikut kategori iaitu RM44.3 juta kepada 177,097 golongan berpendapatan rendah; RM9.7 juta untuk 38,744 warga emas; RM10.7 juta kepada 42,800 ibu atau bapa tunggal dan RM4.5 juta untuk 17,900 orang kelainan upaya.

Isu agihan dana raya yang lebih berfokus iaitu kelayakan pemohon berpendapatan isi rumah minimum RM1,100 dengan jumlah penerima yang berkurangan mengundang kritikan penduduk negeri ini yang tidak berpuas hati dengan kerajaan negeri.

Ketika pentadbiran kerajaan BN, isi rumah berpendapatan RM2,500 pada 2015 layak memohon dana raya, sebelum had kelayakan dinaikkan kepada isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah bermula 2016.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri juga sudah membuat rayuan kepada Kerajaan Persekutuan dalam pertemuannya dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya pemotongan hutang kerajaan negeri dikurangkan daripada 25 peratus kepada tujuh peratus daripada Wang Tunai Petroleum.



Sumber: kulihatlangitbiru.com