Thierry Chanta Bin kekal bersama Terengganu FC


KUALA TERENGGANU: Ketika pemain pertahanan kelahiran Montenegro, Igor Zonjic sudah boleh mengemaskan pakaiannya selepas digugurkan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), namun sebaliknya pula bagi Thierry Chantha Bin.

Pemain tengah itu yang sebelum ini berada dalam radar antara yang bakal disingkirkan bersama Zonjic selepas prestasi tidak konsisten bersama Terengganu FC (TFC) sepanjang saingan musim ini, kini mampu menarik nafas lega.

Berita gembira buat pemain kebangsaan Kemboja itu dimaklumkan oleh pengurus pasukan TFC, Ahmad Shahrizal Yahaya, selepas usaha PBSNT untuk mendapatkan pemain dari Thailand, Sansern Limwatthana sebelum ini buntu.

"Kita mengekalkan pemain itu (Chantha Bin) selepas hasrat untuk mengikat Sansern Limwatthana menemui kegagalan kerana tidak dilepaskan kelabnya.

"Selepas gagal menggunakan khidmat pemain tengah Thailand itu, kita berusaha membawa masuk pemain Kemboja yang pernah beraksi bersama Pahang dan PKNS, Chan Vathanaka tetapi tidak berjaya atas beberapa faktor serta pemain dari Filipina juga gagal saat akhir perbincangan.

"Justeru, kita mengambil keputusan untuk mengekalkan pemain itu (Chantha Bin) untuk membarisi skuad TFC," katanya di sini, hari ini.

Mengenai kedudukan pertahanan import baharu dari Brazil, Luis Gustavo Camilo, Ahmad Shahrizal berkata, pemain yang pernah menyarung jersi kelab Ferroviaria dalam Serie D Brazil itu bakal tiba awal Jun ini.

"Pemain berusia 27 tahun itu yang menggantikan tempat Igor Zonjic, sudah sah milik TFC cuma pemain itu belum tiba lagi. Bekas pemain yang pernah menyarung jersi Manama Club dalam Liga Bahrain itu akan diikat sehingga November ini.

“Kehadirannya diharapkan mampu memantapkan lagi jentera pertahanan terutama pada aksi pertamanya menentang Melaka United di tempat lawan pada 15 Jun ini," katanya.