Tiada bantuan Aidilfitri untuk pekebun kecil Risda, kata Azmin

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak berhasrat untuk memberi sebarang ‘duit raya’ atau bantuan sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini kepada peserta Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal ini kerana harga purata Getah Standard Malaysia 20 (SMR 20) dilihat berada pada paras stabil iaitu mencecah lebih RM6.15 sekilogram.

“Jadi ia dapat kurangkan bebanan pekebun-pekebun kecil malah kita juga telah ambil usaha membantu mereka ketika musim tengkujuh baru-baru ini,” katanya kepada pemberita di lobi ibu pejabat RISDA, Jalan Ampang di sini hari ini.

Terdahulu, Mohamed Azmin menyampaikan sumbangan duit raya kepada 30 anak yatim dan beberapa kakitangan RISDA dalam majlis berbuka puasa, di sini.

Jelas Mohamed Azmin, pendirian Kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah menggalakkan pekebun-pekebun kecil RISDA tidak terlalu bergantung pada hasil getah dan kelapa sawit sahaja kerana harga komoditi itu tidak menentu selain pasaran antarabangsa yang tidak memihak kepada mereka.

“Baru-baru ini saya mengadakan perbincangan strategik dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dengan melibatkan Felda, RISDA dan Felcra kerana kementerian itu mempunyai kepakaran serta teknologi selain kelebihan bank tanah yang terdapat di negara ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, beliau telah mengemukakan permohonan rasmi Felcra kepada Kementerian Kewangan untuk diteliti bagi membantu ratusan peneroka di bawah agensi tersebut.

Kata beliau, walau bagaimanapun tiada tempoh tertentu untuk menyelesaikan masalah di Felcra kerana turut bergantung pada kedudukan kewangan negara ketika ini sebelum membuat sebarang keputusan.

Jelasnya, beliau tidak berhasrat untuk merangka kertas putih seperti yang dilakukan terhadap Felda sebelum ini, tetapi akan melihat masalah peneroka Felcra dengan lebih bertanggungjawab seterusnya membantu mereka.

“Saya percaya komitmen yang diberikan Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad) untuk tidak melihat peneroka-peneroka ini terus dibebankan dengan masalah kewangan,” katanya.

Semalam, peserta Felcra merayu kerajaan menyuntik dana berjumlah RM930 juta bagi membantu mereka yang kini hidup ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.

Pengerusi Majlis Ahli Parlimen PH, Datuk Johari Abdul pula mendakwa, keadaan kewangan Felcra amat kritikal ketika ini dengan aliran tunai hampir kosong yang berpunca daripada salah urus tadbir kepemimpinan terdahulu. – UTUSAN ONLINE



Sumber: kulihatlangitbiru.com