UMNO perlu bersedia hadapi kemungkinan PRU mengejut

Posted on Wednesday, May 15, 2019 | 5/15/2019


KUALA LUMPUR – Pembahagian kerusi antara UMNO dan Pas untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) perlu dibincangkan bermula sekarang.

Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, ini kerana terdapat kemungkinan PRU15 akan berlaku secara mengejut atau diadakan lebih awal.

“Saya rasa kena mula sekarang. Kalau PRU15 mengejut, macam mana? Kalau ada perubahan pimpinan dan pilihan raya mengejut, susah kalau kita tak sedia sekarang,” katanya.

Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang juga menyambut baik kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang membayangkan UMNO dan Pas bergabung untuk menghadapi PRU15.

“Itu baguslah, dengan syarat kita dapat rujuk kepada ahli-ahli kita dalam perhimpunan agung. Supaya tak timbul masalah menjelang pilihan raya.

“Soal kedudukan parti masing-masing dalam pilihan raya juga perlu diselesaikan supaya tak berbangkit isu yang boleh memecah belahkankan kita. Kita juga kena ambil kira bukan Melayu yang selama ini jadi rakan setia kita,” katanya ketika ditemui di majlis iftar anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr Hasan Mad dan ahli-ahli lembaga penasihat MPM iaitu Tun Hanif Omar dan Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Sementara itu, ditanya mengenai bentuk gabungan UMNO dan Pas, Tengku Razaleigh mencadangkan ia dirujuk kepada cara pembentukan awal BN.

“Saya rasa kena rujuk balik kepada cara BN diwujudkan dulu. Itu cara terbaik. Dia (Pas) pun jadi anggota dan pengasas BN dulu.

“Kalau nak gabung, kena rujuk cara kita bersatu di bawah BN. Saya rasa kalau kita sekadar gabung untuk pilihan raya kecil, tak bermakna,” katanya.

Pada majlis tersebut turut diadakan bacaan Yassin, tahlil dan ucapan khas oleh Tengku Razaleigh.

Seramai 45 orang pelajar Maahad Tahfiz Darul Hidayah Ukay Perdana turut menerima sumbangan Aidilfitri daripada MPM.



Sumber: kulihatlangitbiru.com
Blog, Updated at: 5/15/2019

0 comments: