5 tahun tak dapat balik raya, anggota polis maut dirempuh ketika bertugas

“ARWAH memang teruja membuat persiapan hari raya… tahun ini dapat cuti dan memang rancang nak balik Kedah petang ini,” luah Nor Adeela Mad Hashim.

Nor Adeela, 26, adalah isteri anggota Unit Kereta Peronda Polis, Lans Koperal Mohd Ishraf Ismail, 27, yang maut dirempuh motosikal ketika membuat pemeriksaan ke atas van di tepi Jalan Persisiran Perling, Johor Bahru, pagi tadi.

Kali terakhir dia bertemu suaminya pada jam 3 pagi tadi ketika arwah menghantar nasi lemak untuk dia bersahur bersama dan anaknya – Muhamad Afiq Ishabil, 3, dan Muhamad Adam Iskandar, 7.

‘Arwah singgah ke rumah bersama rakannya (yang turut terbabit dalam kemalangan) dan hantar dua bungkus nasi lemak untuk kami tiga beranak bersahur.

“Kemudian saya mendapat tahu berita tentang kejadian kira-kira jam 8 pagi tadi melalui sahabat arwah,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, hari ini.

Nor Adeela berkata, arwah juga sudah membuat persiapan dan membeli baju raya.

“Kami merancang memang hendak pulang ke Alor Setar selepas lima tahun tidak dapat pulang beraya. Tahun ini memang arwah dapat cuti,” katanya.

Jenazah Mohd Ishraf dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Tok Teh, Malau di Jitra, Kedah malam ini.

Dalam kejadian jam 6.40 pagi tadi, Mohd Ishraf maut, manakala rakan setugasnya, Lans Koperal Muhammad Syakir Safwan Khairudin, 29, parah dirempuh sebuah motosikal.

Muhammad Syakir dan penunggang motosikal berusia 36 tahun yang merempuh mereka kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.



Sumber: kulihatlangitbiru.com