‘Abah tak pernah datang…’ – Banduan ini luah kerinduan, sambut Syawal di sebalik tirai besi

LAGU-lagu raya yang berkumandang di sana sini mengundang sayu dan hiba buat banduan yang menghuni tirai besi di Penjara Wanita Kajang, Selangor.

Hanya rintihan dan linangan air mata menemani mereka bagi mengubat kerinduan keluarga tercinta setiap kali menjelang 1 Syawal.

Walaupun cuba untuk tidak melayan emosi, tetapi hanya tuhan saja yang tahu betapa syahdunya hati banduan mengenang nasib beraya di sebalik sangkar besi itu.

Rozita (bukan nama sebenar) merupakan antara penghuni di Penjara Wanita Kajang. Dia disabitkan bersalah atas kesalahan pecah amanah, kerana menyeleweng wang syarikat sebanyak RM100,000.

Wanita berusia 31 tahun ini dihukum penjara lebih dua tahun sejak Mac 2018 dan Syawal merupakan kali kedua dia beraya tanpa keluarga dan suami tercinta.

“Bila kita kat dalam ni (penjara), kita tak ada sesiapa. Kita tak kenal antara satu sama lain. Jadi, sejak masuk sini saya down sebab teringat kat suami, keluarga, mak dan ayah.

“Saya anak yang paling rapat dengan mak ayah,” katanya kepada mStar ketika ditemui di Penjara Wanita Kajang, baru-baru ini.

Menghuni di rumah hukum itu, Rozita sering mengenangkan saat dia membeli sarapan setiap pagi dengan nasi lemak kegemaran ibu dan kuih apam dan cucur badak kesukaan bapanya untuk dibawa ke rumah insan kesayangannya itu.

Namun, apa yang membuatkan hati Rozita lebih sayu apabila teringatkan kata-kata ibu semasa melawatnya di penjara, baru-baru ini.

“Mak cakap raya kali ni tak ada apa-apa makna pun lagi untuk mak selagi saya tak balik.

“Begitu juga suami beritahu ini raya kedua tanpa saya dan dia tak beli apa-apa sebab sebelum ini saya yang siapkan semua,” ujarnya mengenai lelaki yang dikahwini sejak lapan tahun lalu.

Di sudut hati Rozita sebenarnya tiada siapa yang tahu wanita ini amat merindui bapa tercinta yang masih belum pernah hadir melawatnya di penjara.

“Sebenarnya saya terlalu rindukan ayah. Sejak saya masuk sini, ayah tak pernah datang jenguk atas alasan dia tak kuat tengok saya dalam penjara.

“Abah, Ita minta maaf. Ita dah malukan abah sampai abah sakit… Mak cakap abah rindu kat orang. Ita pun rindu kat abah,” katanya sebak sehingga menitiskan air mata.

Namun jelas Rozita, dia tidak mengharapkan kehadiran bapa di penjara tetapi mahu insan yang disayanginya itu menerima dirinya seadanya selepas dibebaskan kelak.



Sumber: kulihatlangitbiru.com