Ajal sebelum sampai kampung

SEORANG maut, manakala dua parah dan tiga cedera, dalam kemalangan membabitkan sebuah keluarga, selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas di Kilometer 81.9 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat Gurun, hari ini.

Dalam kemalangan 2.43 tengah hari itu, penumpang hadapan, Azli Jaafar, 54, meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua anak mangsa parah.

Difahamkan, Toyota Wish yang dinaiki keluarga dari Shah Alam, Selangor itu dalam perjalanan pulang ke kampung mereka di Anak Bukit, Alor Setar untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner, Adzli Abu Shah berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu anak sulung mangsa dari arah Butterworth menghala ke arah Alor Setar terbabas sendiri di kiri lebuh raya sebelum melanggar penghadang jalan sebelah kiri lebuh raya.

“Kereta terbabit dipercayai dipandu dalam keadaan mengantuk dan laju sehingga hilang kawalan sebelum terbabas di tempat kejadian.

“Impak kemalangan, mangsa (Azli) maut serta-merta di tempat kejadian disebabkan oleh kecederaan parah di kepala dan dalaman badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk bedah siasat.

Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk rawatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.



Sumber: kulihatlangitbiru.com