Anwar tersinggung dengan media

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui tersinggung dengan media yang didakwa sering mengutamakan laporan mengenai proses peralihan jawatan antara beliau dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, apa yang lebih mustahak ketika ini adalah usaha untuk melaksanakan janji Pakatan Harapan (PH) kepada rakyat, berbanding proses peralihan kuasa.

“Saya kadang kala rasa tersinggung juga dalam penulisan (media) kerana mereka lebih utamakan soal alih kuasa ini, sedangkan keutamaan sepatutnya adalah kepada perkara kita untuk tunaikan janji.

“Saya nak ulang, (soal jadi Perdana Menteri) ini tidak jadi masalah pada saya, yang penting PH dengan dasarnya untuk jaga kepentingan rakyat, tolak penyalahgunaan kuasa, dan beri ruang pada Dr Mahathir untuk mengemudi negara pada waktu sukar ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Wisma PKR Pulau Pinang di Bayan Baru, Georgetown, hari ini.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, beliau tidak pernah mempunyai percanggahan atau pertembungan dengan Dr Mahathir berhubung soal peralihan kuasa seperti yang ditafsir pihak luar.

“Soal peralihan kuasa dari Dr Mahathir kepada saya ini menjadi masalah kepada orang luar, tetapi bukan kepada saya.

“Dalam kalangan pemimpin PH juga tidak berganjak daripada janji yang kita sepakati, tidak ada perebutan sama ada harus lambat atau cepat, mereka menyerahkan kepada kebijaksanaan Dr Mahathir dan saya,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut menafikan wujud perpecahan besar dalam PKR susulan penyebaran klip video seks yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Katanya, perbezaan pendapat adalah lumrah biasa dalam sesebuah parti yang sentiasa mendokong prinsip demokrasi.

“Saya tidak tahu pecah di mana. Ya, ada beza pendapat, tetapi kadang-kadang mereka ini lupa kita adalah demokratik, kita mesti beri peluang untuk perbezaan pendapat dan beri teguran termasuk kepada saya,” katanya.



Sumber: kulihatlangitbiru.com