Berat kaki untuk tinggalkan Terengganu - Igor Zonjic


KUALA TERENGGANU: Igor Zonjic meluahkan rasa berat hati dan sedih untuk meninggalkan Terengganu FC (TFC) selepas mengganggap pasukan berkenaan bagaikan `rumah kedua’ buat dirinya sejak awal musim lalu.

Khidmat pemain pertahanan import dari Montenegro itu ditamatkan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) pada tempoh jendela perpindahan kedua Liga Malaysia yang berakhir Khamis lalu.

Susulan itu, beliau kini terpaksa mencari pasukan baharu untuk meneruskan kerjaya.

"Saya tidak bersama lagi TFC kerana sudah ditamatkan kontrak. Kami sudah bersetuju dalam semua hal selepas perbincangan diadakan dengan pihak pengurusan. Namun begitu, kaki saya begitu berat untuk melangkah pergi meninggalkan Terengganu..

“Saya juga begitu sedih untuk pergi meninggalkan kelab ini (TFC), lebih-lebih lagi saya sudah anggap kelab ini sebagai rumah dan keluarga saya selepas bersama sejak awal musim lalu. Tetapi apa boleh buat.

“Inilah bola sepak, saya perlu akur. Malah ada pemain ternama yang menyarung jersi pasukan besar dengan kelab lain juga terpaksa meninggalkan pasukan, ia biasa dalam mana-mana kelab," kata Zonjic mengenai penggugurannya daripada skuad TFC.

Pada aksi final Piala Malaysia musim lalu menentang Perak, pemain yang dipancing sendiri bekas jurulatih pasukan itu, Irfan Bakti Abu Salim beraksi cemerlang sepanjang 90 minit masa sebenar dan masa tambahan.

Namun berbaki beberapa saat lagi sebelum tamat permainan, Zonjic memberi 'talian hayat' kepada lawan selepas 'menghadiahkan' gol sendiri sesudah tertampan bola ke gawang golnya sekali gus menyaksikan juara terpaksa ditentukan dengan sepakan penalti selepas terikat 3-3 sebelum tewas 1-4 menerusi penentuan penalti.

Mengulas lanjut, Zonjic berharap skuad Penyu mampu mengulangi pencapaian mara ke final Piala Malaysia musim ini dan seterusnya muncul juara biarpun tanpanya.

"Saya harap TFC akan terus berjaya mara ke final dan menebus kehampaan musim lalu merangkul piala biarpun jauh di sudut hati saya mahu bersama dengan rakan sepasukan melakar sekali lagi memori indah itu.

"Untuk masa depan saya tidak tahu lagi kerana saya masih belum mempunyai pasukan lagi pun segalanya berlaku begitu pantas. Saya tidak mempunyai masa yang cukup untuk berbuat demikian.

"Saya perlu pandang ke hadapan dan tidak boleh menyerah kalah. Buat sementara ini saya akan tinggal di Malaysia dan sekiranya tidak ada pasukan berminat, saya akan pulang ke negara saya," kata Zonjic yang pernah menyarung jersi kelab River Plate dalam Liga Argentina. - Berita Harian