'Dia minta RM50 nak beli gam, tapi saya tak layan' - Berang tak dapat duit, anak saudara bakar rumah pusaka 3 beradik buta


Tiga beradik warga emas yang cacat penglihatan tinggal sehelai sepinggang selepas rumah pusaka yang berusia lebih 100 tahun yang didiami mereka di Kampung Titi Besi, musnah dibakar oleh anak saudara sendiri. 

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 4 petang semalam, mangsa mengalami kerugian lebih RM10,000 apabila wang tunai, barang kemas, geran tanah dan baju raya mereka musnah dalam kebakaran. 

Difahamkan, anak saudara mereka bertindak demikian kerana berang selepas cubaannya meminta wang dari ibu saudaranya gagal.


Menurut Che Manai, 73, suspek meminta wanga daripadanya yang dipercayai untuk membeli gam (hidu gam). 

"Dia minta duit kat saya RM50. Saya kata mana ada duit banyak itu lalu dia mengamuk dan tinggalkan rumah dalam keadaan marah.

"Saya tak layan sebab tahu dia gunakan duit itu untuk beli gam. 

"Baju raya saya dah siap digosok dan disimpan dalam almari, tetapi nasib tidak menyebelahi saya nak pakai," katanya yang menambah telah menjaga suspek sejak berumur 10 tahun.



Kisah Halijah Ibrahim 78, Zainah, 67, dan Che Manai itu mendapat perhatian Mneteri Besar Datuk Seri Azlan Man yang menziarahi mereka semalam. 

Tiga beradik itu kini ditempatkan sementara di bengkel kraftangan mereka yang bersebelahan dengan tapak rumah yang terbakar. 


Sementara itu, Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohamad berkata, pihaknya telah menahan suspek dan kini direman selama empat hari bermula semalam.

Sumber: Bernama


Sumber : thereporter.my