Dilantik Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa umum keluar PKR

KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Latheefa Koya memaklumkan beliau telah menghantar surat peletakan jawatannya sebagai ahli PKR semalam.

Jelasnya, beliau berbuat demikian setelah diberitahu berkenaan pelantikannya untuk mengetuai SPRM.

Latheefa berkata demikian menerusi akaun Twitter beliau dengan merujuk sebuah artikel daripada portal berita tempatan mengenai konflik kedudukannya sebagai ahli politik untuk mengetuai SPRM.

“Terima kasih atas nasihat. Tetapi saya telah menghantar surat peletakan jawatan serta-merta sebagai ahli biasa PKR semalam, sejurus dimaklumkan mengenai pelantikan saya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM,” katanya menerusi akaun media sosialnya itu hari ini.

Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memberitahu, Latheefa dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu untuk tempoh kontrak selama dua tahun berkuat kuasa mulai 1 Jun lalu dan pelantikan itu telah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong selaras dengan subseksyen 5(1) Akta SPRM 2009.

Pelantikan Latheefa sebelum itu menimbulkan pelbagai reaksi negatif memandangkan beliau merupakan ahli PKR yang aktif dan sering menjadi peguam bagi pemimpin partinya.

Beliau dilantik sebagai menggantikan Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull yang sepatutnya menamatkan kontrak pada 17 Mei 2020, tetapi telah membuat keputusan untuk berundur awal kerana menganggap semua tugas diamanahkan kepadanya telah berjaya diselesaikan dengan baik.-UTUSAN ONLINE



Sumber: kulihatlangitbiru.com