Enam perompak samurai larikan barang kemas RM900,000

SEKUMPULAN enam penjenayah berparang melarikan lima kilogram barang kemas bernilai RM900,000 selepas menyamun kereta pekerja kilang menempa emas di Jalan Jelawat, Seberang Jaya, hari ini.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, kumpulan penyamun bertopeng dikatakan mengekori kereta dua pekerja yang membawa emas untuk dihantar kepada pelanggan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, ketika kejadian suspek menaiki dua kenderaan iaitu BMW putih dan sebuah pacuan empat roda (4WD).

Menurutnya, dua mangsa berusia 49 dan 41 tahun berkenaan menaiki Proton X70 kelabu milik majikannya.

“Kereta BMW suspek berhenti mengejut di depan kenderaan mangsa sebelum suspek dan tiga lelaki bertopeng serta bersenjata pedang samurai keluar dari kereta.

“Mangsa cuba mengundur kenderaannya namun sebuah 4WD menghalang laluan belakang membuatkan mereka tersepit,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, semua suspek kemudian mengetuk cermin kereta mangsa hingga pecah sebelum melarikan barang kemas yang disimpan dalam dua beg.

“Suspek turut merampas barang berharga serta dokumen peribadi milik kedua-dua mangsa.

“Mangsa turut ditarik keluar daripada kereta dan seorang daripadanya berdarah hidung selepas terkena serpihan kaca,” katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira 300 meter dari premis tempat mangsa bekerja dan mereka ketika itu dalam perjalanan ke Jitra, Kedah untuk urusan perniagaan.

“Kita masih mengesan semua suspek dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.



Sumber: kulihatlangitbiru.com