Irfan Bakti tidak mahu kembali


LEBIH sebulan 'mengunci mulut' selepas meletak jawatan mengejut sebagai ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim akhirnya bersuara menafikan akan menduduki semula 'kerusi panas' skuad Penyu.

Jurulatih berpengalaman itu turut menafikan peletakan jawatan berpunca 'arahan' dan tekanan daripada Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) atau desakan peminat setia skuad itu yang mahukannya berundur.

Irfan pernah membawa TFC juara Piala FA pada 2011 kurang senang jika ada menyatakan pemain skuad itu memprotes kononnya tidak suka dengan strategi diterapkannya.

"Saya ada menerima permintaan daripada PBSNT dan peminat setia skuad itu untuk kembali melatih skuad itu, tapi saya menolaknya dengan baik.

“Begitu juga tawaran daripada pasukan lain dalam Liga Malaysia (Liga M) kerana mahu berehat.

"Mengenai punca meletak jawatan, saya menafikan sekerasnya-kerasnya jika ada mengaitkan punca disebabkan arahan daripada orang dalam persatuan, pemain melakukan protes dan desakan daripada peminat setia.

"Sebab sebenar mendorong saya meninggalkan pasukan adalah atas dasar rasa tanggungjawab selepas melihat prestasi pasukan tidak begitu konsisten.

"Itu saja puncanya. Bukannya disebabkan masalah lain malah ketika saya mula letak jawatanpun orang kuat dalam PBSNT termasuk presiden dan timbalannya juga tidak mengetahuinya.

"Justeru dengan pendedahan ini, saya harap ia dapat merungkai dan menjawab persoalan yang mungkin sebelum ini terbuku dalam kalangan peminat setia skuad itu ataupun orang dalam PBSNT," katanya.

Irfan yang mula mengendalikan skuad pada 2017 mengumumkan peletakan jawatan secara mengejut pada 15 Mei lalu, sehari selepas skuad dibimbingnya diaibkan pendatang baharu, Petaling Jaya City FC (PJ City) 3-5 biarpun mendahului 3-0 pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. - Harian Metro