Kanak-kanak 8 tahun maut kemalangan di pagi raya

KEGEMBIRAAN lima beranak menyambut Hari Raya pertama berakhir tragedi apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun maut dalam kemalangan di Kilometer 36 Jalan Kota Tinggi-Mersing, pagi tadi.

Dalam nahas kira-kira jam 7.30 pagi, Marissa Az Zahra Mazlan yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Baharu, Perai, Pulau Pinang, meninggal dunia di tempat kejadian selepas kereta dinaiki mereka sekeluarga terbabas ke longkang di tepi jalan.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing, berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu bapa mangsa berusia 39 tahun dipercayai hilang kawalan lalu terbabas.

Beliau berkata, kereta itu dinaiki pemandu bersama isteri dan tiga anak membabitkan dua lelaki berusia 10 serta empat tahun dan seorang anak perempuan berumur lapan tahun.

“Lima beranak terbabit beralamat di Taman Pauh, Jalan Baru, Perai, Pulau Pinang. Ketika kejadian, mereka dipercayai dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke FELDA Tenggaroh (dari arah Mersing).

“Mangsa yang meninggal dunia adalah kanak-kanak perempuan, iaitu anak kedua pasangan itu. Pemandu bersama isteri dan dua lagi anak mereka hanya cedera ringan,” katanya.

Beliau berkata, polis masih menyiasat punca sebenar kemalangan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1952.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Anuar Hussien, ketika dihubungi pula berkata sebuah jentera dengan kekuatan lima anggota dikerahkan ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan.

“Setiba di lokasi, sebuah kereta didapati terbabas ke dalam longkang di bahu jalan,” katanya.



Sumber: kulihatlangitbiru.com