Mahathir mohon maaf jika PH ada buat silap

Posted on Thursday, June 06, 2019 | 6/06/2019


PUTRAJAYA – Tun Dr Mahathir Mohamad memohon maaf sekiranya sepanjang pemerintahan Pakatan Harapan terdapat perkara yang tidak membawa kesenangan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, perdana menteri berdoa keamanan yang dinikmati negara selama ini seperti mana ditunjukkan rakyat berbilang kaum di rumah terbukanya dan anggota Kabinet di Seri Perdana di sini hari ini dapat diteruskan pada masa akan datang.

“Di negara kita ini, kita hidup aman damai dan rayakan hari kebesaran semua kaum bersama-sama tanpa mengira kaum.

“Dengan itu negara kita jadi aman dan dapat hidup senang lenang dan sejahtera,” katanya semasa berucap di hadapan ribuan tetamu majlis itu, ditemani isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri mewakili isteri dan keluarganya, Dr Mahathir bersyukur perpaduan ditunjukkan rakyat berbilang kaum dalam negara jelas terbukti di rumah terbuka itu.

“Inilah negara kita, Malaysia, yang memberi banyak nikmat kepada semua kita. Saya bersama isteri dan keluarga mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada semua,” katanya. – Bernama



Sumber: kulihatlangitbiru.com
Blog, Updated at: 6/06/2019

0 comments:

Loading...