‘Mama Walid, jangan risaukan Ainul… Ainul kan kuat’

KUALA LUMPUR: ‘Mama Walid, jangan risaukan Ainul, Ainul dah biasa. Ainul kan kuat’.

Itu luahan bapa bayi penghidap kanser mulut Germ Cell Tumor’, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, untuk menggambarkan anaknya itu cukup kuat dan tabah mengharungi dugaan yang menimpa sejak dari kecil lagi.

Dalam perkongsian status Facebook terbarunya, Ahmad Safiuddin berkata jika Ainul Mardhiah mampu berkata-kata, pasti anaknya itu akan mengungkapkan sedemikian bagi menenangkan perasaan beliau dan isteri.

“Pembedahan kecil/besar, kimoterapi, cucuk sana cucuk sini, entah sudah berapa banyak parut di tubuh badan anak yang bertuah ini.

“Mujur Ainul belum reti bercakap. Jika diizinNya Ainul boleh bercakap ketika ini, pasti Ainul akan berbisik kepada kami, ‘Mama Walid, jangan risaukan Ainul, Ainul dah biasa. Ainul kan kuat!” katanya.

Ainul Mardhiah yang berusia sembilan bulan, kini sedang menerima rawatan di sebuah hospital kanak-kanak di London dan sebelum ini dilaporkan dalam keadaan sihat.

Status yang dikongsi Ahmad Safiuddin itu mendapat hampir 8,000 tanda `like’ dan 684 perkongsian selepas lima jam dipaparkan.

Netizen juga turut menzahirkan kata-kata semangat kepada Ahmad Safiuddin dan isteri, malah mendoakan kesembuhan kepada bayi itu.

“Hebat syg sehebat namanya… berjuang lah demi sekuntum senyuman yg dinanti kan kedua org tua mu syg… Ainul Mardhiah seorg wanita yg hebat..bergitu juga Ainul Mardhiah yg comel ni seorg ank yg hebat,” kata Shariwani Wati.

”Banyak kan besaba dengan dugaan yang Allah beri. Sesungguhnya ape yg berlaku pasti ada hikmah dan kebaikan. Semoga ainul segera sembuh dengan izin Allah. Aamiin,” kata Muhammad Syakib Salihin.

” Mesti sembuh cepat kan bidadari… Allah sentiasa lindungi bidadari ni…,” kata Ummu Khadijah pula.



Sumber: kulihatlangitbiru.com