Manifesto PH tak adil larang orang politik pegang jawatan kerajaan – Mahathir

TUN Dr Mahathir Mohamad menyifatkan manifesto Pakatan Harapan (PH) yang melarang ahli politik memegang jawatan penting dalam kerajaan adalah tidak adil kerana ada ahli parti telah bekerja keras memastikan kemenangan pada pilihan raya umum lalu.

Diasak soalan mengenai keputusannya melantik pemimpin PKR, Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baru, Perdana Menteri berkata, soal janji dalam manifesto PH tidak sepatutnya timbul.

“Tidak. Dia (Latheefa) telah letak jawatan. Kita tidak boleh hukum ahli (parti) kita. Ketika kita berusaha untuk menang pilihan raya, orang-orang ini bekerja keras untuk pastikan kita (PH) menang.

“Tetapi manifesto kita (PH) kata, kalau menang, mereka tidak boleh pegang jawatan, itu tidak adil,” katanya kepada pemberita selepas majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Jemaah Menteri semalam.

Perdana Menteri diminta mengulas bantahan dan kritikan pelbagai pihak susulan pelantikan Latheefa yang dianggap bukan sahaja melanggar janji manifesto PH, malah akan mencemarkan imej agensi tersebut.

Pelantikan Latheefa bukan sahaja dibantah pembangkang, malah beberapa pimpinan PH sendiri kurang senang dengan perkembangan itu, selain kritikan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Latheefa yang juga Pengarah Eksekutif Lawyers For Liberty dilantik ke jawatan itu bagi menggantikan Datuk Mohd Shukri Abdull yang menamatkan kontraknya lebih awal.

Dr Mahathir bagaimanapun menjelaskan, kerajaan sememangnya tidak mahu melantik orang politik memegang jawatan dalam agensi kerajaan, namun ada masanya ia sepatutnya boleh dilaksanakan.

“Kalau dia mempunyai kualiti tertentu, kita akan melantiknya walaupun dia ada (jawatan) dalam politik,” ujar beliau.

Ditanya kenapa tiada mana-mana pegawai dalam SPRM dilantik mengisi kekosongan jawatan tersebut, Dr Mahathir berkata, cara lantikan sebegitu tidak semestinya wajib dibuat oleh kerajaan.

“Ada masanya kita lantik orang dari luar (agensi). Tidak semestinya (diganti oleh) orang kedua atau ketiga. Kita (kerajaan) berhak untuk lantik sesiapa sahaja yang difikirkan layak,” tegas Perdana Menteri.

Dr Mahathir turut menafikan dakwaan bahawa pelantikan itu adalah satu isyarat bahawa beliau tidak puas hati dengan prestasi Mohd Shukri.

“Dia (Mohd Shukri) ada kata pada saya nak berhenti sejak tahun lalu lagi, Jadi saya perlu ambil masa untuk menggantikannya,” ujarnya.

Ditanya punca Mohd Shukri mahu melepaskan jawatan lebih awal, Dr Mahathir berkata, bekas bos SPRM itu memberitahu bahawa dirinya sudah terlalu lama memegang jawatan berkenaan.



Sumber: kulihatlangitbiru.com