Syok beraya bersama 4 isteri, 14 anak

KUALA TERENGGANU: “Memang seronok dapat beraya dengan empat isteri dan 14 anak, dan saya menganggap ia rezeki diberikan Allah SWT.”

Mohd Fazil Mohd Dali, 44, bersyukur menyambut Aidilfitri bersama empat isteri, iaitu Harlinda Suparman, 44; Suhana Mokhtar, 40; Nur Izzati Mad Wazi, 33; dan Khairatul Azwa Khairul Anwar, 36, serta 14 anak berusia antara dua hingga 18 tahun daripada enam perkahwinannya.

Setiap tahun, Mohd Fazil berkata, keluarga besarnya merayakan Hari Lebaran secara beramai-ramai tanpa timbul sebarang masalah.

Beliau berkata, mereka lazimnya berkumpul di rumah isteri pertama pada malam raya untuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri, selain memenuhi amalan akhir Ramadan dengan pengisian keagamaan yang menjadi kunci kebahagiaan.

“Selepas bertakbir raya, kami berkumpul di ruang tamu untuk membaca kitab taalim fadilat amal selama 90 minit sebelum mula membuat persiapan menyambut Aidilfitri dan saling bermaafan,” katanya yang juga pemilik gimnasium ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pandan, di sini.

Mohd Fazil berkata, persiapan wajib seperti baju raya untuk semua isteri dan anak sudah dibuat dari awal Ramadan bagi membolehkan ahli keluarganya memberi tumpuan kepada amalan 10 malam terakhir Ramadan.

“Ramai yang bertanyakan rahsia kebahagiaan saya dan jawapannya ialah bergantung pada sejauh mana amalan serta tanggungjawab ditunaikan sebagai seorang ketua keluarga dan bapa.

“Saya menyatukan semua isteri dan anak bukan melalui kekerasan atau paksaan tetapi secara berhemah serta kasih sayang, selain mengerjakan suruhan Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya.

“Selain solat berjemaah dan membabitkan semua isteri serta anak dengan majlis ilmu agama di masjid, amalan makan di dalam talam dan saling menyuap juga antara rahsia pengikat kasih sayang kami sekeluarga,” katanya.

Setiap tahun, Mohd Fazil berkata, mereka sekeluarga akan beraya di rumah mentua secara bergilir-gilir di Perak, Melaka, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

“Walaupun kami beraya bersama, saya tidak mewajibkan isteri atau anak berpakaian sedondon. Mereka bebas memilih warna mengikut cita rasa masing-masing.

“Biasanya, kami akan berkonvoi ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri sebelum berkunjung ke rumah saudara terdekat selepas bersarapan,” katanya.

Sementara itu, Harlinda berkata, beliau seronok beraya bersama tiga madu dan semua anak, malah mereka saling membantu dalam segala urusan keluarga.

“Setiap anak dilayan sama rata dan isteri juga tiada iri hati terhadap satu sama lain kerana keutamaan kami ialah muafakat, kerjasama dan saling menghormati serta membahagiakan.

“Kami bertuah kerana dianugerahkan seorang suami yang rajin berusaha mencari rezeki untuk keselesaan keluarga, terutama anak, tetapi pada masa sama tidak mengabaikan tanggungjawab mencurah kasih sayang kepada kami,” katanya.



Sumber: kulihatlangitbiru.com